Mahalli kembali menyengat


Oleh SHARKAWI LONDING

PEMAIN skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Mahalli Jasuli kembali mengukir nama selepas lama menyepi gara-gara prestasi yang tidak menentu.

Pemain berusia 27 tahun itu kembali menemui sentuhan berbisanya apabila menjaringkan gol pembukaan JDT pada aksi Kumpulan F kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2017 menentang kelab Filipina, Global FC di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, JDT menang 4-0, sekali gus menerajui takhta Kumpulan F de­ngan mengumpul tujuh mata.

Sebelum ini Mahalli sering mendapat kritikan peminat ekoran prestasinya tidak konsisten selepas kembali daripada kecederaan, malah ada menyifatkannya sebagai pemain sayap yang kaku dan kurang kreatif.

Kelmarin, dia menghapuskan kritikan tersebut apabila tampil dengan aksi yang lebih bertenaga, malah turut membantu membuka ruang kepada rakan-rakan sepasukannya untuk menjaringkan gol.

Menurut Mahalli, dia berasa puas apabila dapat menjaring gol pada perlawanan tersebut, sekali gus membalas kepercayaan jurulatih kerana masih mengharapkannya untuk menjalankan tugas sebagai pemain utama.

“Kali terakhir saya berjaya menjaringkan gol adalah ketika menentang Kaya FC pada kempen Piala AFC musim lalu. Selepas itu saya terpaksa berehat selama lima bulan kerana mengalami kece­deraan yang serius.

“Beraksi di posisi sayap ini sebenarnya perkara baharu dalam karier saya, namun ia juga sedikit sebanyak membantu saya mendapatkan semula keyakinan diri. Sebelum ini, saya lebih gemar beraksi di posisi pertahanan kiri,” kata Mahalli ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Dia juga mengakui masih mencari rentak untuk bermain di posisi tersebut selain terpaksa bergelut bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan JDT.

Tambahnya, dia ju

ga tidak menghiraukan sebarang tanggapan negatif yang dilemparkan terhadapnya, malah menganggap kritikan tersebut sebagai cabaran untuk menjadi pemain yang lebih baik.

Pada perlawanan kelmarin, skuad Harimau Selatan menepati ramalan apabila menang besar 4-0 ke atas seteru dari Filipina tersebut selain berjaya merampas kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan F.

Gol pasukan JDT pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh Mahalli, kapten pasukan, Safiq Rahim serta dua pemain import mereka iaitu Brian Farreira dan Marcos Antonio.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih JDT, Ismail Ibrahim memberitahu, beliau berpuas hati dengan rentak permainan yang dipamerkan barisan pemainnya meskipun mengakui masih ba­nyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

Selain itu tambahnya, kejayaan menjaringkan empat gol merupakan sesuatu yang baik untuk perkembangan pasukan dan ia seharusnya diberi pujian.

(Kosmo)

[4795870]

Facebook Comments