Chong Wei hangatkan Terbuka Malaysia

KUCHING – Pengesahan kehadiran Datuk Lee Chong Wei yang baru menjuarai kejohanan badminton All England di Birmingham minggu lalu serta penyertaan ramai pemain terkemuka dunia pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2017 menyaksikan tiket kejohanan habis dijual.

Kejohanan Terbuka Malaysia akan diadakan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 4 hingga 9 April depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan yang diterima daripada peminat badminton Malaysia dan seluruh dunia sangat baik, malah menjangkau sasaran penganjur.

“Tiket untuk perlawanan separuh akhir dan akhir pada 8 dan 9 April sudah habis dijual kecuali 500 tiket yang hanya akan dijual di stadium pada hari pertandingan.

“Tiada bayaran masuk dikenakan pada hari pertama perlawanan pada 4 April, manakala tiket untuk perlawanan pada 5 hingga 7 April masih boleh dibeli daripada ejen-ejen berdaftar,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat penyelarasan kejohanan di sini semalam.

Kejohanan Terbuka Malaysia menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai AS$600,000 (RM2.6 juta) menyamai jumlah wang kemenangan yang ditawar pada kejohanan All England, sekali gus merupakan kejohanan Siri Super Dunia peringkat tertinggi dalam Persekutuan Badminton Dunia paling besar pernah diadakan di Sarawak.

Sementara itu Lawrence berkata, 500 tiket yang dijual pada hari pertandingan mungkin tidak dapat memenuhi permintaan dan pihaknya bercadang memasang skrin gergasi di kawasan Pusat Akuatik Pandelela Rinong bagi memberi peluang kepada peminat yang gagal mendapat tiket merasai kehangatan kejohanan.

Katanya, kejohanan itu turut disiarkan secara langsung ke lebih 30 negara selain kira-kira 70 pengamal media tempatan dan antarabangsa akan membuat liputan kejohanan itu nanti. – Bernama

(Kosmo)

[4795869]

Facebook Comments