Akar umbi DAP buka mata

KUALA LUMPUR 15 Mac – Selepas 182 ahli DAP di Melaka bertindak keluar parti, dijangka ratusan lagi di Johor, Pulau Pinang dan Selangor turut mengambil langkah sama selepas menyedari corak kepemimpinan kuku besi serta diktator yang diamalkan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR, 15 MAC 2017 – Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berucap ketika sidang akhbar mengenai kepimpinan parti DAP di Eastin Hotel di sini hari ini.GAMBAR – AMIR KHALIDWARTAWAN – FARHANA ( AM UTUSAN )

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, beliau percaya ahli-ahli DAP sudah mula buka mata seterusnya menyedari corak politik parti itu yang langsung tidak demokratik.

Jelas beliau, berdasarkan pengalaman sepanjang be­­rada dalam DAP, Dinasti Lim tidak suka ditentang kerana bagi mereka, semua ahli perlu akur dengan setiap polisi atau dasar yang ditetapkan.

“Mereka memerintah dengan mencipta ketakutan hingga mengakibatkan ahli-ahli langsung tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat kepada kepemimpinan atasan.

“Keadaan DAP ketika ini sebenarnya sedang jatuh malah Kit Siang serta Guan Eng turut menyedarinya. Jadi saya tidak hairan jika lebih ramai ahli yang akan bertindak untuk keluar parti selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar dekat sini, hari ini.

Jelas Tunku Abdul Aziz, laungan ‘demokratik’ dan ‘ubah’ yang sering digunakan Kit Siang juga disifatkan sebagai tidak jujur apabila Penasihat DAP itu gagal menterjemahkan dalam pentadbiran parti.

Menurutnya, keadaan itu dapat dilihat sendiri apabila pucuk pentadbiran parti tidak pernah berubah sejak ditubuhkan, berbeza dengan kepemimpinan negara dan parti-parti politik lain.

“Malaysia sendiri telah mempunyai enam Perdana Menteri tapi DAP dari 1969 hingga sekarang hanya Kit Siang seorang yang paling berkuasa. Jadi, di mana nilai demokratik yang ada pada DAP?

“Kesedaran itu mula disedari ahli-ahli hari ini malah mereka sudah bangkit dan mahukan jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut dan jika Kit Siang tidak bersetuju dengan kenyataan saya ini, saya cabar beliau membuat deklarasi terbuka bahawa beliau bukan diktator,” katanya.

(Utusan Online)

[4795839]

Facebook Comments