Nazri jamin debat harmoni, tetap hormat Dr. M


KUALA LUMPUR 15 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi jaminan pertemuannya dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berlangsung dalam suasana persaudaraan walaupun mereka mempunyai perbezaan pendapat.

Mohamed Nazri menjelaskan, debat itu akan diadakan dalam suasana aman kerana mereka ber­ada di atas pentas untuk menjelaskan kekeliruan, malah tidak mempunyai agenda lain terma­suk mengutuk mana-mana pihak.

“Kita datang hanya untuk berdebat bukan untuk mengutuk sesiapa atau bergaduh, bia­salah dalam perbahasan ada soal jawab dan sekiranya Dr. Mahathir bertanya sudah pasti saya akan memberikan jawapan.

“Kena ingat beliau bekas Perdana Menteri, bekas majikan saya, macam mana pun saya tetap menghormatinya sebagai seorang yang lebih tua dan sudah pasti saya tidak naik ke pentas untuk memakinya kerana itu bukan budaya kita,” katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian Pameran Bakat Muda Sezaman 2016 di Balai Seni Negara di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Seri Farid Ridzuan; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghaffar A. Thambi serta Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dr. Mohammed Najib Ahmad Dawa.

Dalam majlis tersebut, dua peserta berkongsi anugerah utama sebanyak RM12,500 setiap seorang iaitu Shin Pui San dengan karya, Not So Far Away dan Saiful Razman Mohd Kassim (Kau Datang Untuk Menghilang).

Baru-baru ini, Dr. Mahathir mencabar Mohamed Nazri berdebat mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan majlis itu akan diadakan pada 25 Mac ini di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Mohamed Nazri berkata, walaupun ada pihak yang mendakwa majlis itu tidak memberi apa-apa manfaat, namun beliau tetap akan hadir dan bersikap profesional serta tidak akan menjadikannya sebagai landasan untuk membalas dendam.

“Siapa yang cakap majlis itu tidak berfaedah, mereka adalah pengecut. Dalam majlis itu nanti saya dan Dr. Mahathir akan berdebat. Kami tiada apa-apa masalah, kenapa orang lain pula sibuk dan minta majlis itu tidak diadakan,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau tidak pasti sama ada majlis itu akan di­siarkan secara langsung atau tidak kerana ia diuruskan oleh pihak penganjur.

(Utusan Online)

[4795822]

Facebook Comments