Berbasikal sambil menikmati keindahan


RAUB 15 Mac – Seramai 30 ahli Kelab Berbasikal Chukai (KBC), Terengganu menjelajah hampir 400 kilometer sebelum tiba ke daerah ini dan Lipis menerusi program pelancongan rekreasi serta riadah di Pahang Barat, kelmarin.

Kayuhan itu antara lain sebagai aktiviti riadah dan menyema­rakkan amalan gaya hidup sihat di samping berpeluang mengunjungi tempat-tempat menarik serta bersejarah di kedua-dua daerah.

Ketika di Bandar Bersejarah Kuala Lipis, ahli KBC bergabung dengan 15 ahli Persatuan Berbasikal Raub (PBR), mengunjungi beberapa lokasi menarik termasuk rumah tempat kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bukit Bius.

Penyelaras program, Salim Che Ahmad berkata, pada hari kedua, ahli KBC dan PBR mengayuh basikal sejauh 137 kilometer dari Lipis melalui pekan Benta untuk tiba ke bandar Raub.

Kumpulan kelab berbasikal itu, katanya, kemudian mendaki bukit selepas melalui pekan Tranum sebelum tiba di pusat peranginan Bukit Fraser sejauh 84 kilometer.

“Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat malah melengkapkan program pelancongan rekreasi,” katanya di sini hari ini.

Salim yang juga pemilik Raub Eco Advanture berkata, kunju­ngan ahli KBC Terengganu ke Raub juga dapat mengeratkan hubungan antara mereka selain bertukar-tukar pandangan tentang kegiatan berbasikal.

Katanya, pertemuan ahli daripada kedua-dua kelab berkenaan turut membolehkan mereka me­rancang aktiviti seumpama itu ke lokasi lain di negeri ini dan Terengganu pada masa akan datang.

Dalam pada itu, seorang ahli KBC, Muhammad Aizat Abd. Aziz, 26, berkata, kayuhannya ke Lipis dan Raub cukup signifikan bagi memantapkan fizikal serta mental.

“Kami memilih kedua-dua daerah ini kerana terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan tempat bersejarah di sam­ping mempunyai hubungan yang erat dengan KBR dalam aktiviti rekreasi.

“Walaupun kayuhan mendaki Bukit Fraser banyak mengerah kudrat, saya dan rakan-rakan berpuas hati dan berasa teruja melihat keindahan pusat peranginan tanah tinggi yang terdapat di situ,” katanya.

(Utusan Online)

[4795783]

Facebook Comments