The Red Devils ibarat ‘singa lapar’


MANCHESTER 15 Mac – Jose Mourinho berharap pemain Manchester United segera memadam kekecewaan tumpas 1-0 kepada Chelsea dalam Piala FA dengan menjadikan Rostov sebagai mangsa kebangkitan apabila turun pada perlawanan kedua, peringkat 16 terbaik Liga Europa esok.

Layangan kad merah yang diterima Ander Herrera pada minit ke-35 menyebabkan United terpaksa beraksi dengan 10 pemain sebelum terkeluar daripada suku akhir Piala FA kelmarin.

Namun, anak-anak buah Mourinho tidak boleh meratapi kekalahan terlalu lama kerana mempunyai tugas getir di Old Trafford apabila menerima kunjungan wakil Rusia yang mengikat mereka 1-1 dalam aksi pertama, minggu lalu.

“Kami ada perlawanan pen­ting Khamis ini dan saya hanya sempat berehat sekejap sebelum menyiapkan pasukan sebaik yang mungkin.

“Perkara paling penting sekarang adalah melakukan persediaan untuk menghadapi Rostov dan melupakan kekalahan lalu,” kata Mourinho sejurus selepas pasukannya tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge.

Penggantungan Zlatan Ibrahimovic dan kecederaan Wayne Rooney serta Anthony Martial memaksa Marcus Rashford bertindak sebagai penyerang tunggal di Chelsea, meskipun berdepan masalah kesihatan.

Namun, pada ketika keadaan Rooney dan Martial masih tidak menentu, Ibrahimovic serta Herrera dijangka kembali menguatkan cabaran The Red Devils esok kerana penggantu­ngan mereka hanya berkuat kuasa dalam liga domestik.

Bek tengah, Eric Bailly juga bersedia untuk diturunkan selepas terlepas aksi pertama di Rusia akibat penggantungan.

Kegagalan memburu Piala FA bermakna Liga Europa adalah satu-satunya trofi yang tinggal untuk ditambah dalam koleksi Mourinho musim ini selepas Piala Liga. – AGENSI

(Utusan Online)

[4795733]

Facebook Comments