Kim Swee lega dalam gundah


SHAH ALAM 15 Mac – Walaupun lega dengan keputusan penangguhan perlawanan antara Harimau Malaysia menentang Korea Utara namun Datuk Ong Kim Swee berasa risau kerana tarikh baharu ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bermakna skuadnya mempunyai tempoh singkat untuk bersedia menghadapi perlawanan seterusnya.

Tarikh perlawanan Malaysia menentang Korea Utara dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 telah dianjakkan oleh AFC kepada 8 Jun ini daripada tarikh asal 28 Mei kerana hubu­ngan diplomatik antara kedua-dua negara ketika ini.

Selepas bertemu Korea Utara sama ada di Pyongyang atau di gelanggang berkecuali, skuad Harimau Malaysia akan menentang Lebanon di tempat sendiri lima hari kemudian.

“Kita tidak mempunyai ba­nyak pilihan apabila sudah ditetapkan tarikh perlawanan itu pada 8 Jun ini, cuma yang menimbulkan sedikit masalah kemungkinan dari segi jarak perjalanan venue perlawanan.

“Jika perlawanan tersebut diadakan di Pyongyang atau China sudah tentu kita akan ambil masa yang lama untuk perjalanan pergi dan balik dan pada 13 Jun kita akan lawan Lebanon di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita sebelum mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, jurulatih dari Melaka itu berharap venue baharu, jika perlawanan diadakan di gelanggang berkecuali, untuk perlawanan dengan Korea Utara adalah di negara ASEAN kerana tempoh perjalanan yang pendek memudahkan skuadnya.

“Saya harap kita dapat bermain di Thailand, Laos atau Kemboja. Ini sudah pasti memudahkan kita kerana tempoh perjalanan yang lebih singkat. Bagaimanapun, setahu saya dari segi peraturan jika (perlu bermain di) gelanggang berkecuali maka pasukan tuan rumah yang akan tentukan,” katanya.

(Utusan Online)

[4795720]

Facebook Comments