MoU Perlis,Kedah tanda sempadan sungai baharu


KANGAR 15 Mac – Kerajaan negeri dan Kedah semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi penandaan baharu sempadan sungai di ke­dua-dua negeri itu membabitkan sepanjang 5.3 kilometer (km) berhampiran persisiran pantai Kuala Sanglang dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kawasan sempadan sungai tersebut perlu diukur semula memandangkan sebelum ini ia adalah berasaskan kepada sungai asal yang kini tidak lagi wujud.

“Kini kedua-dua pihak bersetuju dengan menetapkan titik kordinat bagi menentukan sempadan baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis MoU Pengukuran dan Penandaan Sempadan Kedah/Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah dan Timbalan Ketua Pengarah JUPEM I, Datuk Sri Mohd. Noor Isa.

Azlan berkata, sebelum ini soal penandaan sempadan darat di kedua-dua negeri berjiran itu yang melibatkan jarak sepanjang 32.4km sudah berjaya disiapkan.

“Kita berharap selepas MoU ini, perkara membabitkan sempadan sungai pula (sepanjang 5.3km) juga akan disiapkan tidak lama lagi,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya juga berasa lega apabila MoU berkenaan dapat menyelesaikan kerja-kerja penandaan di kawasan terbabit.

Beliau berkata, kerjasama yang terjalin baik antara kedua nege­ri ini telah menjadikan urusan berkaitan sempadan menjadi le­bih mudah diselesaikan.

(Utusan Online)

[4795704]

Facebook Comments