200 pelajar dikesan ponteng sekolah


MERBOK 15 Mac – Jabatan Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan mengesan sekurang-kurangnya 200 kes ponteng sekolah dalam kalangan pelajar sekolah menengah di daerah ini.

Apa yang menyedihkan, pelajar berkenaan yang dikatakan gemar ponteng pada sesi persekolahan Ahad dan Khamis itu sering melepak di kawasan rekreasi dan pusat internet.

Menurut Timbalan Pegawai Pendidikan daerah itu, Shaari Ismail, pihaknya yang melancarkan operasi bersepadu berjaya menahan tiga pelajar sekolah yang ponteng dan melepak di sebuah pusat internet.

Katanya, Ops Sayang yang dilancarkan itu melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Jabatan Kesihatan daerah Kuala Muda, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Dalam Ops Sayang itu, tiga pelajar dari dua sekolah mene­ngah di daerah ini berjaya ditahan setelah gagal melarikan diri apabila pusat internet tersebut diserbu.

“Berikutan itu, ibu bapa ma­sing-masing terpaksa dipanggil dan diberi nasihat agar tidak mengulangi perbuatan tersebut,” kata Shaari di sini semalam.

Katanya, pihaknya memandang serius kes ponteng itu dan mengambil tindakan dengan melancar operasi khas bersama pegawai dari beberapa agensi kerajaan ke kawasan sekolah-sekolah tertentu.

“Ada pelajar di beberapa sekolah bertindak menghilangkan diri pada sesi persekolahan, terutama di hari Ahad dan Khamis. Mereka berbuat demikian tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing.

“Yang menyedihkan, kini sudah ada hampir 200 pelajar di daerah ini tidak hadir ke sekolah setiap hari dan sanggup berada di lokasi tertentu,” katanya.

(Utusan Online)

[4795708]

Facebook Comments