Kenapa MB Selangor berdiam diri?


KUALA SELANGOR 15 Mac – Kesemua penduduk Kampung Felda Bukit Ce-rakah ialah orang Melayu manakala empat lagi kampung bersebelahan iaitu Bukit Hijau, Bukit Kapar, Bukit Kerayong dan Puncak Alam, 95 peratus warganya adalah orang Islam.

Namun, Kampung Felda Bukit Cerakah bakal menjadi lokasi pembinaan perkuburan bukan Islam walaupun tiada satu pun keluarga bukan Islam menetap di kampung tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penduduknya.

Sedangkan sudah ada dua tapak perkuburan bukan Islam bersaiz mega di kawasan berdekatan iaitu di Meru yang jaraknya tidak sampai lima kilo-meter dan sebuah lagi di Ijok yang jaraknya kurang daripada 15 kilometer dari Kampung Felda Bukit Cerakah.

Jika diikutkan pelan asal, pembinaan tapak perkuburan bukan Islam di Felda Bukit Cerakah itu yang keluasannya 97 hektar hanya dipisahkan tidak sampai 500 meter dari rumah penduduk sehingga mencetuskan persoalan wajarkah jirat Cina itu dibina?

Menambahkan lagi kemusykilan apabila siri bantahan penduduk sama ada menerusi demonstrasi dan memorandum sehingga kini hanya dipandang sepi oleh Kerajaan PKR Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab juga tidak ba­nyak membantu apabila meminta penduduk yang tidak berpuas hati memfailkan perkara itu ke mahkamah.

Timbalan Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin iaitu salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menentang pembinaan kubur bukan Islam tersebut, Kamaruddin Abdul Karim berkata, pihaknya tidak melihat adanya sebarang keperluan untuk jirat Cina dibina di Kampung Felda Bukit Cerakah.

“Penduduk tidak menentang sebarang projek pembangunan yang boleh memajukan kawasan setempat, tetapi bukan pembinaan perkuburan ini yang jelas untuk perniagaan dan menguntungkan mereka sahaja.

“Oleh itu, kami mahu tindak balas segera daripada Menteri Besar dan kami juga memohon pihak istana campur tangan dalam hal ini kerana membabitkan kepentingan orang Melayu,” katanya.

(Utusan Online)

[4795691]

Facebook Comments