Rebut peluang industri 
halal di Jepun


JOHOR BAHRU 15 Mac – Syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus merebut peluang untuk mengeks­port produk mereka ke Jepun terutama dalam pasaran halal.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noraini Ahmad berkata, produk halal berasaskan bahan makanan, makanan dan minuman, hasil minyak sawit serta kosmetik mendapat permintaan tinggi di negara itu.

“Pasaran halal Jepun mempunyai potensi besar kerana ketika ini terdapat 150,000 orang Islam di negara itu selain mahu menggalakkan industri pelancongan mesra Muslim yang akan mene­rima kedatangan antara 18 juta hingga 30 juta pelancong Islam menjelang tahun 2030.

“Produk halal juga diperlukan kerana Jepun bakal menganjurkan Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada tahun tersebut mereka akan menerima kedatangan 20 juta te­tamu dari seluruh dunia dan satu juta daripadanya adalah orang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Seminar Peluang-Peluang Perniagaan dalam Industri Halal Jepun di Perbadanan Usahawan Johor (EDC) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Persatuan Perdagangan Jepun (Jetro) Kuala Lumpur, Akira Kajita dan Pengarah Wilayah Selatan Matrade, Raphy Md. Radzi.

Noraini berkata, produk halal mendapat permintaan meng­ga­lak­kan di Jepun bukan sahaja status halalnya tetapi kerana produk atau bahan makanannya selamat, berkualiti tinggi dan bersih serta jaminan standardnya.

Jelasnya, apabila produk halal Malaysia dapat menembusi pasaran Jepun, usahawan tempatan sudah boleh mengeksport barangan masuk ke pasaran negara lain di seluruh dunia kerana standard dan piawaian eksport ke Jepun dianggap penanda aras kualiti produk antarabangsa.

Beliau memberitahu, daripada Januari hingga September tahun lalu, jumlah eksport Malaysia ke Jepun keseluruhan melibatkan sebanyak RM1.70 bilion berban­ding RM1.67 bilon bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Katanya, eksport Malaysia ke Jepun pada tahun lalu seperti produk bahan makanan berjumlah RM789.5 juta, makanan dan minuman (RM637.77 juta); hasil minyak sawit (RM147.23 juta); kosmetik (RM72.41 juta); industri kimia (RM52.76 juta) dan farmaseutikal (RM5.28 juta).

(Utusan Online)

[4795690]

Facebook Comments