246 penduduk lega
dapat geran tanah


KLUANG 15 Mac – Penantian sekian lama 246 penduduk dari tiga perkampungan di Simpang Renggam dekat sini untuk memiliki tanah sendiri berakhir apabila kesemua mereka menerima geran masing-masing semalam.

Kesemua mereka dari Kampung Sri Pekan, Kampung Jaya Sepakat dan Felcra Simpang Renggam 2, menerima geran hak milik tanah tapak rumah dan pertanian yang disampaikan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Majlis Daerah Simpang Renggam dekat Layang-Layang dekat sini.

Seorang peneroka, Jamaludin Akhlak Ahmad, 71, dari Felcra Simpang Renggam 2 berkata, dia telah memohon untuk mendapatkan geran hak milik kebun getah tersebut sejak 1980.

“Saya amat bersyukur kerana penantian lebih 30 tahun untuk mendapatkan geran tanah kebun getah ini akhirnya berakhir juga.

“Dengan adanya geran tanah ini, mudah saya untuk menyerah­kan kepada salah seorang daripada enam anak saya nanti untuk mengusahakan kebun tersebut,” katanya ketika ditemui dalam majlis berkenaan.

Bagi Panot Mangon, 70, dari Kampung Jaya Sepakat berkata, dia telah memohon geran tanah kebun kelapa sawit seluas lebih satu hektar yang diusahakannya sejak lebih 40 tahun lalu.

“Memang lega hati saya kerana tanah kebun itu akhirnya menjadi milik saya secara sah.

“Memandangkan usia saya sudah lanjut, kebun itu kini diusahakan anak saudara saya, Zamri Abd. Hamid,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai kerja kuat serta kesabaran penerima termasuk peneroka dalam usaha mereka untuk membangunkan kebun dan ekonomi keluarga masing-masing.

Katanya, penyerahan geran hak milik itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat negeri ini dan usaha tersebut akan dilakukan secara berterusan.

(Utusan Online)

[4795695]

Facebook Comments