Belia dekati gelandangan


PULAU PINANG 15 Mac – Peningkatan jumlah pe­ngunjung dari dalam dan luar negara ke negeri ini dapat disaksikan saban tahun sehingga meletakkan Pulau Pinang sebagai antara lokasi pelancong­an wajib dilawati.

Namun, kehadiran gelandangan yang menghiasi lorong di bangunan-bangunan sejarah bandar raya Georgetown dilihat memberi gambaran negatif kepada setiap pengunjung.

Mereka baring di mana-mana tempat yang dirasa bersesuaian bagi berteduh dan melelapkan mata selepas seharian menagih simpati orang ramai.

Dengan hanya beralaskan kotak buangan dan berbantalkan beg, mereka meringkuk kesejukan sebelum menunggu hari bertukar siang menyambung ‘pekerjaan’ mendapatkan makanan daripada orang ramai atau di kedai berhampiran.

Walaupun mereka hanya berserah mengharapkan simpati, rezeki mereka tidak pernah putus.

Keprihatinan Persatuan Belia Infiniti yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ditubuhkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan sejak 2011 membolehkan nasib para gelandangan terbela.

Meskipun bantuan yang dihulurkan bukan bersifat kekal, sekurang-kurangnya gelanda­ngan daripada pelbagai kaum itu mampu mengukir senyuman.

NGO yang mempunyai lebih 50 keahlian itu menganjurkan program amal berkenaan setiap bulan dengan mengagihkan makanan, selimut dan pakaian kepada golongan berkenaan.

Untuk kali ke-13, lebih 20 ahli pertubuhan itu tidak melepaskan peluang menganjurkan program sama dengan berjalan kaki dari Masjid Kapitan keling menunju ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi menjejaki golongan tersebut.

Program selama dua jam bermula kira-kira 8.30 malam Sabtu minggu lalu berjaya mengagihkan 80 helai selimut dan makanan serta beberapa pakaian terpakai untuk kegunaan harian gelanda­ngan tersebut.

Tambah menarik, misi tersebut turut disertai sukarelawan pelbagai latar belakang termasuk golongan pendidik dan bekerjaya.

Menurut presiden persatuan itu, Shahzieda Shahbani, barang­an itu diperoleh daripada wang sumbangan ahli persatuan selain menggunakan lebihan belanjawan program lepas.

Katanya, ahli jawatankuasa persatuan itu sentiasa komited memastikan kelengkapan yang akan diagihkan pada setiap program mencukupi.

Dalam program kali ini, beliau berkata, kutipan yang dibuat memberangsangkan dan mereka berjaya mengumpulkan lebih RM2,000 untuk membeli selimut selain 80 pek makanan.

“Menjadi satu kepuasan kepada kami melihat gelandangan di sini menikmati makanan yang diagihkan. Mereka makan bersungguh-sungguh.

“Dengan kekuatan ahli persatuan yang kita miliki, program amal ini akan diteruskan setiap bulan bagi menyemai nilai kasih sayang dalam kalangan ahli,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Persatuan Belia Infiniti atau lebih dikenali sebagai Infinity Youth Association (IYA) bermatlamat menjadikan belia berdaya saing, kreatif dan berinovatif serta menyumbang ke arah konsep satu bangsa Malaysia.

Selain gelandangan, IYA turut menganjurkan program bantuan amal kepada anak-anak yatim di sekitar negeri selain kerap me­nganjurkan program rekreasi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan berminat menghulurkan bantuan boleh melawati laman sosial Facebook Infinity Youth Association.

(Utusan Online)

[4795694]

Facebook Comments