Sasar belia sertai sukarelawan APM


KUALA LUMPUR 15 Mac – Golo­ngan muda di ibu kota diga­lakkan untuk mendaftar sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membentuk generasi muda bandar yang lebih berkemahiran.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, beliau berharap seramai 4,000 anak muda di Daerah Cheras khususnya di Bandar Tun Razak menyertai APM menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, usaha ber-kenaan juga diharap dapat membantu kerajaan mencapai sasaran sebanyak dua juta sukarelawan APM pada tahun ini.

“Salah satu kepentingan akti­viti sukarelawan APM ini adalah ia mampu membentuk budaya sukarelawan serta meningkatkan kemahiran kepada mereka dalam memberikan bantuan awal kecemasan sekiranya berlaku sesuatu bencana.

“Kegiatan seperti ini juga dapat mengisi masa terluang mereka dengan pelbagai latihan yang boleh digunakan bagi membantu orang awam,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Kelab Bola Sepak Restorm dan Pendaftaran Keahlian APM di sini.

Yang turut hadir, Penolong Pesuruhjaya Bersekutu APM, Datuk Mohamad Shahrum Osman.

Dalam majlis tersebut juga, wakil dari Radio Amatur Malaysia turut mendaftar sebagai sukarelawan APM.

Sementara itu, Mejar Bersekutu APM Daerah Cheras, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim berkata, pihaknya akan berterusan menjalankan kempen bagi menarik lebih ramai anak muda di sini untuk menyertai kegiatan tersebut.

“Aktiviti seperti ini dapat membentuk anak muda yang lebih berkemahiran serta mampu mengelakkan mereka daripada terjebak dengan sebarang kegiatan yang tidak bermoral dan tidak mendatangkan faedah,” jelasnya.

(Utusan Online)

[4795693]

Facebook Comments