MDSB dirayu sedia tapak baharu peniaga mentarang


SABAK BERNAM 15 Mac – Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dirayu supaya menyediakan tapak niaga di kawasan strategik terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan ke atas peniaga mentarang di sepanjang rizab Jalan Persekutuan dari Se­kinchan hingga ke Pasir Panjang.

Menurut para peniaga mentarang di sepanjang jalan itu, mereka sedia untuk berpindah sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan tapak yang sesuai dan strategik di sekitar kawasan terbabit tetapi sehingga kini perkara tersebut tidak berlaku.

Salah seorang peniaga, Noor Asikin Ebas berkata, tindakan MDSB serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis saman tanpa menyediakan tapak alternatif sebenarnya menganiaya orang Melayu yang cuba menambah pendapatan dengan menjual mentarang.

“Saya sudah tiga kali terima surat saman daripada MDSB. Sedangkan inilah punca rezeki keluarga kami selama ini. Kami tiada pilihan, kami terpaksa teruskan perniagaan di tapak sekarang kerana tiada tapak lain disediakan,” katanya yang sudah enam tahun menjual mentarang kepada Utusan Malaysia di sini.

Difahamkan, pihak berkuasa mengeluarkan arahan pengosongan dan saman kepada kira-kira 15 peniaga mentarang di kawasan tersebut kerana jalan persekutuan itu mahu dinaik taraf.

Seorang lagi peniaga, Sazali Zainal pula meminta MDSB agar lebih bertimbang rasa dengan memberi sedikit kelonggaran kepada peniaga, memandangkan penjualan mentarang di kawasan tersebut hanya dibuat dalam skala kecil.

“Kita minta tindakan pe­nguatkuasaan ini ditangguh dulu sehingga mereka ada tempat baharu untuk berniaga,” katanya yang mengusahakan restoran Faridah Mentarang Bakar itu.

Sementara itu,  Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi yang turun padang bertemu dengan kumpulan peniaga terbabit berkata, sebuah jawatankuasa khas peniaga akan ditubuhkan sebelum beliau membawakan isu terbabit kepada pihak MDSB.

Katanya, rakyat serta peniaga di kawasan itu tidak menolak sebarang kemajuan yang cuba dilakukan tetapi biarlah perkara berbangkit diselesaikan terlebih dahulu.

(Utusan Online)

[4795698]

Facebook Comments