Orang Asli terancam


GUA MUSANG 15 Mac – Kerajaan Pusat akan membina lebih banyak tadahan air tandak untuk kegunaan masyarakat Orang Asli di kawasan hulu negeri ini kerana sumber alam di kawasan tersebut tercemar akibat pembalakan dan pembukaan ladang yang tidak terkawal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani berkata, penduduk Orang Asli mengharapkan pihak kerajaan untuk membantu mereka dalam menyalurkan sumber air bersih.

“Kita sudah berbincang de­ngan banyak pihak seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi membina tadahan air bukit di kawasan baharu di kampung Orang Asli yang sudah dikenal pasti.

“Penduduk Orang Asli pa­ling kritikal berdepan dengan masalah air tercemar ialah di Pos Simpor, Pos Tohoi, Pos Pasik, Pos Gob dan Pos Belatim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lebih 300 penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS), Kuala Betis, di sini hari ini.

Mat Yusoff berkata, air Sungai Belatop di Lojing yang meng­hubungkan Sungai Nenggiri sudah tidak selamat digunakan kerana dikhuatiri mengandungi racun kesan aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi itu.

Katanya, kehidupan penduduk Orang Asli kebelakangan ini berdepan pelbagai ancaman.

“Ancaman utama adalah ke­perluan air sungai yang semakin tercemar dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika digunakan.

“Masyarakat Orang Asli yang tinggal dipinggir sungai, kini mendapati kehidupan mereka semakin tidak selamat kerana kesihatan terjejas apabila menggunakan air sungai yang kian tercemar untuk mengunaan harian.

“Kita menerima banyak aduan daripada kaum Orang Asli bahawa air sungai yang mereka gunakan setiap hari dikhuatiri beracun dan memberi kemudaratan kepada kesihatan mereka,” katanya.

(Utusan Online)

[4795697]

Facebook Comments