Jangan malu miliki anak 
OKU – Zarina Zainuddin


KUANTAN 15 Mac – Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) tidak perlu malu atau ‘menyorok’ golongan tersebut sehingga anak berkenaan terpisah daripada dunia luar.

Pelakon popular, Zarina Zainuddin berkata, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk membawa anak OKU bersiar-siar di tempat yang lebih selesa bagi membolehkan mereka mengembangkan minda dan pengetahuan.

“Saya lebih suka membawa mereka ke kedai buku dan bersiar-siar ke tempat yang mereka inginkan. Saya lakukan sedemikian agar mereka tidak menjadi seperti “katak di bawah tempurung’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menceritakan pengalamannya membesarkan anak autisme pada program Tiket Ke Syurga anjuran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang, di sini semalam.

Zarina memiliki anak kembar yang kini berusia usia 21 tahun dan hanya diketahui menghidap autisme ketika mereka berdua berusia tiga tahun.

Menurut Zarina, meskipun anaknya itu tidak seperti remaja normal, namun dia tetap membawa pasangan kembar berkenaan ke kedai buku sekurang-kurangnya seminggu sekali kerana mereka selesa berada di situ.

“Salah seorang daripada mereka pernah mengambil poskad sehingga beratus-ratus keping, tetapi saya tidak memintanya memulangkannya. Saya membayar harga poskad berkenaan kerana itu yang dia mahu.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu sabar dengan kerenah mereka (anak OKU) kerana mereka tidak seperti insan lain,” katanya.

Tambahnya, dia tidak pernah berasa takut untuk membawa anak-anaknya itu bersiar-siar sebaliknya ia memberi keseronokan kepada mereka.

Katanya, anak-anak OKU memerlukan perhatian yang lebih daripada ibu bapa berbanding anak normal, manakala adik- beradik lain perlu memahaminya.

(Utusan Online)

[4795696]

Facebook Comments