Maritim Malaysia tahan bot, enam nelayan Vietnam


PASIR PUTEH 15 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri ini berjaya menahan sebuah bot nelayan asing yang cuba melarikan diri selepas mencoroboh perairan negara kira-kira 82 kilometer dari kuala Tok Bali, dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira 8.30 pagi itu berlaku apabila anggota Bot Kilat 17 Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan di lokasi tersebut dan mendapati enam awak-awak nelayan asing itu sedang menangkap gamat di kawasan tersebut.

Pengarah Maritim Malaysia negeri ini, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, nelayan terbabit yang menyedari keha­diran pihak berkuasa bertindak memecut bot mereka bersama hasil tangkapan untuk meloloskan diri namun gagal.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati enam nelayan asing dipercayai dari Vietnam berusia 20 hingga 46 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, termasuk tidak mempunyai permit kebenaran menjalankan kegiatan penangkapan hasil laut yang dikeluarkan oleh Ketua ­Pe­ngarah Perikanan Malaysia.

“Nelayan dan bot yang menggunakan nombor pendaftaran CM 91870 itu kemudiannya ditunda dan masuk ke pangkalan operasi Maritim Malaysia di Tok Bali kira-kira pukul 11 malam untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, anggaran nilai hasil tangkapan termasuk sebahagiannya yang sudah diproses bernilai RM300,000 dan pihaknya turut merampas alat tangkapan hasil laut seperti iaitu tangguk besi yang sering digunakan oleh nelayan asing.

“Pemeriksaan yang dijalankan turut menenui kulit siput dan cengkerang pelbagai bentuk yang mungkin untuk pasaran kraf ­ta­ngan dan hiasan di negara mereka,” katanya.

Tambahnya, kesemua nelayan terbabit kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

(Utusan Online)

[4795699]

Facebook Comments