‘Kit Siang pemimpin diktator’

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang didakwa terus menguasai DAP sejak 51 tahun lalu sebagai pemimpin diktator dan lebih terserlah apabila mahu menjadikan anaknya, Lim Guan Eng, sebagai pelapis.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sifat diktator Kit Siang dapat dilihat apabila sesiapa yang menentang kepemimpinannya disekat daripada memegang jawatan atau dipecat daripada parti.

Katanya, ia bagi memastikan legasi kepemimpinan nepotisme berterusan dalam parti.

“Walaupun jawatan penasihat parti tidak melalui proses pemilihan, ia adalah pemimpin mutlak dalam DAP. Pelantikan penasihat parti bukan melalui proses demokrasi seperti pengundian manakala pengerusi hanya sebagai `boneka’.

“Meskipun DAP membawa nama Parti Tindakan Demokratik, perjalanannya tidak pernah demokratik. Ahli yang sedar mengenainya mulai meninggalkan parti berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah mendakwa Kit Siang tetap dengan impian mahu menubuhkan sebuah negara republik jika berjaya menakluki Putrajaya.

“Kita perlu soal Kit Siang apakah jenis demokrasi yang ingin dilaksanakannya? Adakah dia akan mengubah nama negara ini menjadi Republik Demokratik Rakyat Malaysia?,” katanya.

(BHONLINE)

[4795060]

Facebook Comments