Teleprinter Jadi Inspirasi Pencipta Logo BERNAMA

Oleh Norshazlina Nor’azman

PETALING JAYA (Bernama) — Sambil duduk di kerusi, jari-jemari Shahnan Abdullah asyik membelek sekeping pita ‘teleprinter’ lalu melipat-lipatkannya sehingga membentuk huruf B.

Hasratnya mahu menyertai peraduan mencipta logo anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang tarikh tutupnya hanya tinggal seminggu sahaja lagi.

Hadiah yang ditawarkan agak lumayan.

Tanpa diduga idea spontan 42 tahun itu menyaksikan simbol ‘B’ hasil ciptaannya, terus kekal menjadi logo rasmi agensi berita tersohor itu sehingga hari ini.

Bak kata peribahasa Melayu, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.”

CETUSAN IDEA

Pertandingan mencipta logo Bernama itu berlangsung dari 15 Feb hingga 30 April 1975. Pemenang akan memperoleh hadiah wang tunai RM1,000. Peraduan itu berjaya menarik sehingga 264 penyertaan dari seluruh negara.

Sebelum itu, Bernama tidak mempunyai logo yang dicipta khas. Agensi berita itu hanya menggunakan perkataan BERNAMA berwarna jingga.

Shahnan, yang ketika itu berusia 38 tahun dan bertugas sebagai Penolong Pelukis Rekabentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mendapat ilham kreatif itu setelah mengetahui bahawa BERNAMA menggunakan mesin ‘teleprinter’ sebagai medium menghantar maklumat.

Lantas beliau meminta bantuan jurutaip untuk menaipkan beberapa perkataan BERNAMA di atas pita ‘teleprinter’ untuk digunakan sebagai rekaan logo beliau. Kebetulan DBP menggunakan mesin taip yang menggunakan pita berkenaan.

Perkataan BERNAMA di atas pita berkenaaan dilihat seolah-olah corak titik.

“Corak dot (titik) di logo BERNAMA bukanlah dibuat secara sebarangan seperti yang mungkin difikir sesetengah orang.

“Saya tidak pandai membacanya tetapi sekiranya ia diterjemahkan oleh mereka yang mahir membaca kod ‘teleprinter’, ‘dot’ itu sebenarnya membawa maksud Bernama,” kata Shahnan kepada Bernama dalam satu temubual khas sempena sambutan Jubli Emas BERNAMA yang akan disambut pada Mei akan datang.

Anak kelahiran Johor yang akan menyambut hari lahirnya ke-80 pada 17 April ini berkata, setelah melipat pita yang berwarna putih itu menjadi huruf ‘B’, beliau menampalkannya di atas kertas berwarna hitam.

“Dalam percubaan pertama saya membuat beberapa lipatan, hanya beberapa minit sahaja sudah jadi huruf ‘B’. Saya menampalnya di atas sehelai kertas, saya terbalikkan warnanya supaya yang putih menjadi hitam, yang hitam menjadi putih.

“Saya rasa ciptaan saya macam sesuai dan kebetulan masa pun sudah suntuk, saya hantarkan sahaja logo ciptaan saya ke bangunan BERNAMA ketika itu di Jalan Syed Putra,” katanya.

Shahnan berkata meskipun beliau berharap ciptaannya itu berjaya, namun beliau tidak meletakkan harapan tinggi.

Beliau tidak begitu yakin untuk menang kerana jumlah penyertaan yang menggalakkan, ditambah dengan penyertaannya pada saat-saat akhir.

RASA DIHARGAI

Kira-kira sebulan kemudian, Shahnan mendapat panggilan dari BERNAMA yang memaklumkan beliau memenangi pertandingan itu dan meminta beliau datang ke pejabat agensi berita itu.

Dalam pertemuan dengan Pengurus Besar BERNAMA ketika itu, Dol Ramli (Allahyarham Tan Sri), mereka berbincang mengenai perubahan warna dan penambahan perkataan BERNAMA di logo yang direkanya.

BERNAMA mencadangkann warna biru, melambangkan ketenangan warna langit dan Shahnan bersetuju dengan pilihan warna itu.

“Saya tanya kenapa rekaan saya terpilih dan saya diberitahu apa yang saya reka menepati apa yang BERNAMA gunakan ketika itu. Semua penyertaan menggunakan logo B, tetapi tiada yang cipta B sebegitu… saya betul-betul bertuah.

“Setelah perbincangan mengenai atur letak logo, saya kemudiannya kemasi ‘artwork’ itu menjadi apa yang digunakan sehingga kini,” katanya sambil menambah, RM1,000 itu adalah hadiah tertinggi pernah dimenanginya.

Apa perasaan Shahnan apabila BERNAMA masih lagi mengekalkan logo rekaannya, tatkala syarikat media gergasi yang lain memilih untuk menukar logo masing masing kepada yang lebih segar?

“Pastilah saya rasa bangga!” kata Shahnan sambil tersenyum ceria.

“Setiap kali saya ternampak logo Bernama, saya rasa terharu kerana saya tidak sangka rekaan saya akan digunakan sebegitu lama. Malah apabila cucu saya ternampak logo BERNAMA, dia akan tunjuk dan berkata “itu tok buat kan?”.

“Walau rekaan itu sudah berusia tetapi ia masih digunakan lagi, mungkin ada sesuatu yang istimewa pada logo itu yang BERNAMA nampak sehingga ia boleh dipertahankan,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu bagaimanapun akur sekiranya suatu masa nanti BERNAMA memilih untuk menukar logonya seiring dengan peredaran zaman dan teknologi media semasa, namun beliau berharap agar ciri unik asalnya dikekalkan.

“Harapan saya mestilah mahu logo ciptaan saya digunakan dengan lebih lama lagi, mudah-mudahan kalau boleh hingga cicit saya pula boleh lihat.

“Namun tidak salah untuk menambah baik mengikut peredaran semasa, bolehlah buat perubahan pada cara persembahan, mungkin dengan latar belakang kristal ke, atau benda yang timbul,” katanya.

TIDAK TAHU GUNA KOMPUTER

Pertandingan ciptaan logo anjuran BERNAMA bukanlah yang pertama disertainya, namun itu satu-satunya yang dimenangi. Ada beberapa kali beliau memenangi pertandingan rekaan poster untuk pelbagai agensi.

Malah Shahnan turut mencipta logo Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang digunakan agensi penguatkuasaan itu, dan diberikan kepada mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Bagi rekaan poster, tipografi selalunya saya tampal sahaja dengan menggunakan kertas warna. Saya suka bermain dengan warna kerana kalau ciptaan kita cantik sekalipun tetapi jika warnanya tidak sesuai, ia akan tenggelam.

“Selalunya saya akan ambil warna yang sudah dicetak, saya akan padankan dengan warna yang bersesuaian. Yang penting dalam mencipta ini jangan syok sendiri, karya mestilah mudah tetapi mudah difahami dan disukai,” jelas Shahnan.

Sepanjang kariernya, Shahnan tidak pernah menggunakan komputer. Semua rekaan dan ciptaannya dibuat secara manual.

Malah proses membuat buku juga dilakukan tanpa bantuan komputer. Dari mereka bentuk muka hadapan, mengukur sehingga melabel setiap muka surat dibuat dengan cukup teliti, menggunakan tangan.

“Percaya atau tidak, saya tidak tahu nak ‘on’ komputer pun. Kalau saya perlukan bantuan komputer, saya akan bekerjasama dengan pereka yang mengendali komputer. Cara saya, saya buat semuanya dengan tangan sahaja.

“Dari tajuk, nombor mukasurat semua ditampal secara manual, jadi kena betul-betul teliti. Saya pernah buat kalendar untuk DBP, setiap muka surat kena tampal satu-satu nombor, tidak seperti sekarang yang sudah ada templat,” katanya.

MINAT MELUKIS

Meskipun sudah lama bersara, cintanya terhadap lukisan dan rekaan grafik tidak pernah pudar.

Malah, Shahida, anak kedua Shahnan menambah bahawa setiap tahun bapanya tidak pernah lupa memberikan kad hari lahir yang dibuat eksklusif untuk ketiga-tiga anaknya.

“Sentuhan istimewa dari ayah. Tulisan tangannya yang cantik dan dihias secara manual, ditampal pelekat dan pelbagai lagi. Ayah akan buat ini setiap tahun,” katanya.

Dalam usia yang menjangkau 80 tahun, Shahnan tidak lagi menyertai apa jua pertandingan, namun beliau masih mengambil tempahan kad untuk melepaskan rindu terhadap minatnya yang satu itu.

“Saya tidak minat melukis ketika di sekolah, malah saya dibuang dari sekolah semasa di tingkatan dua kerana nakal. Tak sangka saya mempunyai bakat terpendam dan saya mula minat melukis ketika berusia 17 tahun.

“Saya banyak membuat pelbagai kerja rencam tetapi dalam masa yang sama saya sering melukis hinggalah saya dapat kerja di Singapura sebagai pelukis ketika usia 22 tahun, hasil dari bantuan seorang ‘Mat Salleh’ yang menyukai lukisan saya,” katanya.

Sebelas tahun kemudian, Shahnan menyertai DBP sebagai pelukis. Beliau berkhidmat dengan DBP kira-kira 22 tahun dengan jawatan terakhirnya sebagai Pereka Grafik Kanan.

BERNAMA

(BERNAMA)

[4792757]

Facebook Comments