Rentetan Kisah Remaja Pandu Dari Arah Bertentangan , Ini Sebabnya Bahaya Ambil Syabu





Kisah seorang remaja yang memandu dari arah bertentangan menjadi topik hangat di media sosial apabila menjadi punca kepada kematian seorang pemandu yang baru tiga bulan mendirikan rumah tangga dan bakal menerima cahaya mata.

 

Masyarakat Malaysia tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan oleh gadis berusia 19 tahun ini dan menyifatkan perbuatannya adalah tidak berperikemanusiaan dan hanya mementingkan diri sendiri.

 

Lebih malang lagi, menurut Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bahawa ujian air kencing yang telah dilakukan terhadap pesalah menunjukkan gadis ini positif dadah jenis Syabu.

 

 

Isu pengambilan dadah ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan hanya memudaratkan kesihatan si pelaku, tetapi mungkin juga menjadi korban buat insan lain yang tidak berdosa.

 

REMAJA ingin berkongsi tentang beberapa kesan pengambilan syabu yang mungkin kamu tidak pernah tahu.

 

1.    Mental dan emosi

Jika kamu tidak mahu jadi gila, jangan ambil syabu. Pengambilan ini membolehkan kamu high dalam masa lima hingga sepuluh minit kerana kesannya terus sampai ke otak.

 

Apa yang lebih membimbangkan, jenis dadah ini bertindak untuk mengakibatkan halusinasi dan delusi sehingga mampu untuk membunuh diri, gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan bersifat ganas.

 

Bagi mereka yang mengambil dalam dos yang tinggi, suhu badan boleh menjadi tinggi pada tahap membahayakan dan mengakibatkan sawan yang akhirnya membawa kepada maut.

 

 

2.    Otak

Otak manusia mempunyai pusat sistem ganjaran, di mana dopamin dihasilkan iaitu bahan kimia semula jadi yang memberikan ganjaran keseronokan apabila seseorang berbuat baik dan mencapai sesuatu.

 

Syabu merangsang pembebasan dos dopamin pada kadar yang luar biasa. Jika keseronokan makan atau hubungan intim menghasilkan sebanyak 150 dos dopamin, syabu melonjakkan dos tersebut sehingga 1200 dos. Hampir lapan kali ganda daripada kemampuan semula jadi manusia.

 

Proses penghasilan dopamin secara paksaan ini akan merosakkan sel-sel yang menghasilkan dopamin secara semula jadi. Apabila rosak, dopamin yang dihasilkan akan berkurangan. Ini yang menyebabkan pengguna syabu sentiasa kurang puas dan ingin terus mengambil syabu dengan lebih banyak.

 

3.    Fizikal

Kalau nak tahu macam mana kuatnya kesan syabu ini, penagih mampu untuk tidak tidur selama tiga sehingga 15 hari.

 

Selain itu, mereka juga akan hilang selera makan, berat badan turun dengan mendadak, berpeluh, pucat, pengabaian kesihatan diri, badan berbau, gigi kekuningan, berparut dan luka di badan.

 

 

4.    Sistem peranakan (wanita)

Pengambilan ketika waktu mengandung boleh menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran sebelum cukup bulan atau keguguran. Selain itu, bayi yang selamat dilahirkan bersaiz lebih kecil, terlalu aktif, mudah gelisah dan dikhuatiri mengalami masalah mental dan tumbesaran.

 

5.    Jantung dan salur darah

Syabu juga boleh mengakibatkan kerosakan pada jantung kerana degupan kencang, tidak menentu dan tekanan darah meningkat hingga boleh membawa maut. Saluran darah juga pecah akibat bahan kimia syabu yang menghakis dinding salur darah.

 

Secara konklusi, syabu tidak mempunyai kegunaan perubatan dan bermakna pengambilan syabu ini tidak langsung mendatangkan kebaikan buat tubuh badan manusia. Fikirkan kesannya yang tidak hanya melibatkan dengan kesihatan diri kamu, malah individu lain juga turut sama terkesan.

 

(REMAJA)

[4792708]

Facebook Comments