Perkhidmatan Life Engineering Dilancarkan – Membayar Kos Perubatan Secara Perkongsian Umum


Kesihatan yang baik ialah nikmat yang dianugerahkan ilahi kepada umat manusia. Tubuh yang sihat membenarkan kita terus hidup tanpa masalah. Kerisauan yang dihadapi ialah kegagalan membayar kos perubatan apabila menghidap penyakit kronik. Dengan pemotongan belanjawan ke sektor perubatan awam oleh kerajaan, mendapatkan rawatan menjadi lebih sukar. Bagi yang mampu, perkhidmatan di hospital swasta dipilih walaupun harus berbelanja lebih.

Perkhidmatan Life Engineering dilancarkan hari ini. Melaluinya kos perubatan dibayar secara perkongsian umum. Setiap ahli hanya perlu membayar yuran penyertaan RM 100 setahun. Kemudian pengguna hanya perlu bayaran maksimum RM 50 sebulan untuk terus menggunakan perkhidmatan ini. Apabila jatuh sakit, mereka hanya perlu ke hospital panel dan segala kos rawatan kemudian akan dibayar sepenuhnya oleh pihak Life Engineering menggunakan wang yang terkumpul dari bayaran kesemua ahli.

Selain daripada itu pihak Life Engineering turut mengumpul dana dengan menjual iklan di dalam aplikasi peranti mudah alih yang dihasilkan. Melalui perkhidmatan ini mereka berharap akses kepada perkhidmatan perubatan yang terbaik dapat dirasai oleh semua tanpa mengira status kekayaan.

Perkhidmatan ni terbuka kepada rakyat Malaysia dengan umur di antara 8-40 tahun. Setakat ini terdapat 86 hospital swasta dan 135 hospital kerajaan di dalam senarai panel. Ini termasuk hospital pakar seperti Gleneagles, Institut Jantung Negara dan Hospital Tun Hussein Onn. Aplikasi Life Enginering kini boleh dimuat turun menerusi Google Play dengan versi iOS akan hadir dalam masa terdekat.

Berkaitan: Hospital, Hospital Kerajaan, Kesihatan, Life-Engineering, Perkongsian Umum

(Amanz Media)

[4792595]

Facebook Comments