H5N1 merebak di 4 jajahan Kelantan

KOTA BHARU 15 Mac – Wabak selesema burung (H5N1) yang sebelum ini dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini sejak minggu lalu telah merebak ke tiga jajahan lain iaitu Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok dengan jumlah unggas dilupuskan meningkat kepada 23,768 ekor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ekoran itu, wabak tersebut kini dikategorikan sebagai bencana dan diletakkan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20.

“Kita sudah ambil tindakan awal dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengawalnya namun wabak ini merebak terlalu cepat sehingga dikesan di 23 buah kampung di empat jajahan dengan 23,768 ekor unggas dan 881 biji telur telah dilupuskan.

“Kes ini semakin serius namun setakat ini belum ada laporan melibatkan jangkitan ke atas manusia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

(Utusan Online)

[4792561]

Facebook Comments