Dua Lim tadbir DAP secara diktator – Tunku Abdul Aziz


TUNKU Abdul Aziz (kiri) mengadakan sidang media mengenai laporan berita mengenai ahli DAP keluar parti dan isu dalaman parti itu di Petaling Jaya, hari ini. – Foto Zulfadhli Zulkifli

PETALING JAYA: Kepemimpinan kuku besi dan diktator Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng didakwa menjadi antara faktor utama semakin ramai ahli DAP meninggalkan parti itu.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata dijangkakan lebih ramai ahli di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Melaka akan bertindak keluar parti berikutan ramai yang sudah membuka mata dan menyedari realiti kepemimpinan bapa dan anak itu dalam DAP.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya berada dalam parti itu, kedua-dua pemimpin berkenaan tidak suka dasar dan pemerintahan mereka dicabar atau ditentang oleh ahli parti.

“Tiada ruang untuk menyuarakan pendapat yang mungkin bercanggah dengan kepemimpinan atasan dalam DAP… beginilah cara kedua-dua Lim (Kit Siang dan Guan Eng) mencengkam parti.

“Mereka memerintah dengan mencipta ketakutan, namun dengan tindakan ahli yang berjaya membuka mata, meninggalkan parti, kaedah itu (memerintah dengan mencipta ketakutan) dilihat sudah tidak boleh digunakan.

“Saya menjangkakan lebih ramai ahli akan keluar parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, 182 ahli DAP di Melaka memilih untuk keluar daripada parti berkenaan kerana masalah dalaman parti itu.

Bulan lalu, 40 ahli DAP di Sabah dilaporkan meninggalkan parti itu secara beramai-ramai untuk menyertai komponen Barisan Nasional (BN).

Tunku Abdul Aziz berkata DAP sering bercakap mengenai demokrasi tetapi gagal menterjemahkannya dalam pentadbiran parti itu.

Katanya, tiada yang demokratik mengenai kepemimpinan DAP kerana mereka tidak menerima sebarang pendapat yang bercanggah dengan kepemimpinan atasan, malah sistem disiplinnya juga tidak selari dengan peraturan dan undang-undang.

“Pentadbiran DAP lebih kepada bersifat pemerintahan mutlak atau diktator berbanding demokrasi,” katanya.

(BHONLINE)

[4792455]

Facebook Comments