Terkejut guna Oppo





Apabila bercakap mengenai Oppo R9s, penguji akan terus melompat ke fungsi kamera telefon pintar terbabit.

Oppo R9s mempunyai kamera 16 megapiksel, depan dan belakang! Kamera utama mengandungi sensor 1 / 2.8 inci IMX398 hasil kerjasama dengan Sony dan bukaan aperturnya seluas f1.7 untuk memasukkan lebih banyak cahaya, sesuai bagi fotografi pencahayaan rendah.

Sekali gus, pengalaman penguji mendapati rakaman pada waktu siang memanglah nampak baik meskipun adakalanya sentuhan skrin sedikit lambat apabila mahu menyentuh bahagian tertentu objek.

Ketika berada dalam situasi kurang cahaya pula, misalnya dalam bilik dengan hanya satu mentol saja, ia berupaya merakam objek dengan baik tanpa ‘noise’ yang jelas kelihatan jika f1.7 tidak digunakan.

Rakaman video juga beroperasi dengan baik dan penguji cadangkan anda merakam pada 1080p ke bawah meskipun telefon terbabit mampu merakam pada 4K dengan 30fps.

Kesimpulan penguji bagi penggunaan kamera, anda boleh peroleh empat bintang, sudah tentu hasilnya juga dibantu teknologi PDAF pada dwikamera yang membenarkan rakaman pantas.

Jika bercakap kamera depan atau selfie, sensor 1 / 3 inci pada f2.0 juga agak mengejutkan apabila menghasilkan gambar yang cantik (bukan pada mod Beautify).

Antara yang penguji paling gemar ialah mengaburkan latar belakang sesuatu gambar yang menyerlah objek utama dalam foto.

Spesifikasinya, mModel berkenaan mempunyai kuasa pemprosesan Qualcomm octa-core, RAM sebanyak 4GB dan storan 64GB yang boleh ditambah dengan kad microSD hingga 128GB.

Model R9s mempunyai teknologi pengecasan pantas VOOC dan pengimbas cap jari pantas.

Daripada aspek rekaan, ia tidak banyak berbeza dengan model telefon F1s dan F1 Plus sebelum ini. Kira-kira setahun lalu, model terbabit dilancarkan dengan rekaan hampir sama.

Namun inovasi tetap ada. Penguji mendapati rekaannya banyak membantu meningkatkan kualiti capaian rangkaian.

Enam garis antena masing-masing tiga di atas dan tiga di bawah kelihatan berupaya meningkatkan penerimaan isyarat 4G LTE dan WiFi tanpa berkompromi dengan cara telefon itu dipegang.

Ketika membuka telefon ini, anda akan melihat sistem operasi ColorOS versi 3 yang dibangunkan bersama kerangka Android Marshmallow. Alangkah baiknya jika ia terus dibangunkan dengan Android 7.0.

Cip Snapdragon 625 memacu telefon ini dan ia menggunakan skrin AMOLED 5.5 inci, memiliki resolusi HD penuh dan dilindungi gelas Corning Gorilla Glass 5.

Digandingkan dengan pemprosesan cekap tenaga, bateri 3010mAh yang berkapasiti besar ini boleh memberikan masa penggunaan yang lama.

Oppo turut menyediakan teknologi VOOC yang memang gah dengan keupayaannya mengecas pantas bagi kegunaan harian.

Harganya? Telefon ini dijual pada nilai RM 1,798 dan ia berbaloi untuk disambar.

INFO

OPPO R9S

• PENGELUAR: Oppo

• PENGEDAR: Oppo

• CIRI: Kamera telefon 16MP depan belakang

• PRO: f/1.7 memang hebat

• KONTRA: Perlu Android baru

• LAMAN FB: www.facebook.com/malaysiaoppo

(myMetro)

[4791948]

Facebook Comments