Guna AI kenal pasti produk penjagaan wajah



Kuala Lumpur: Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau ‘Artificial Intelligence’ (AI), aplikasi Web Olay Skin Advisor dapat membantu wanita membuat pilihan tepat bagi produk penjagaan wajah.

Mula dilancarkan oleh Procter & Gamble (P&G) di Kongres Mudah Alih Dunia Februari lalu, perkhidmatan percuma ini mengenal pasti jenis kulit dan produk yang sesuai untuk pengguna menerusi gambar swafoto yang dimuatnaik di https://skinadvisor.olay.com.

Bagaimanapun, ia hanya dapat digunakan menerusi pelayar Web di telefon pintar atau tablet.

Pengguna juga perlu memberi maklumat tentang regimen penjagaan wajah agar aplikasi ini dapat menganalisis wajah mereka dengan lebih tepat.

Malah Olay Skin Advisor dapat menentukan kawasan wajah yang lebih memerlukan penjagaan rapi sebelum mencadangkan produk.

Semua maklumat ini diperoleh menerusi teknologi VizID yang menggunakan algoritma ‘deep learning’ berdasarkan puluhan ribu gambar swafoto di dalam pangkalan data aplikasi tersebut.

Menurut ahli sains utama Olay, Dr Frauke Neuser, Olay Skin Advisor dibina bagi membantu pengguna membuat pilihan tepat sebelum membeli produk penjagaan.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan Olay, ramai wanita sering tersalah beli produk yang tidak sesuai dengan kulit mereka. Oleh itu aplikasi ini dapat memudahkan pengguna membuat pilihan,” katanya dalam satu kenyataan.

(myMetro)

[4791902]

Facebook Comments