Kajian Mercer: Vienna kota paling nyaman untuk dihuni di dunia, KL di tangga ke-86


Kuala Lumpur meraih kedudukan ke-86 dalam senarai kaji selidik Mercer. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ibu negara Austria, Vienna menduduki tangga teratas dalam senarai bandar paling nyaman untuk dihuni berdasarkan dapatan firma kaji selidik Mercer.

Senarai yang mengambil kira nilai kualiti kehidupan itu meletakkan Vienna unggul di tangga pertama buat kali kelapan berturut-turut, sementara Baghdad sekali lagi ditempatkan di kedudukan paling bawah.

Kedudukan selepas Vienna adalah Zurich, Switzerland; Auckland, New Zealand; Munich, Jerman dan Vancouver, Kanada.

Kaji selidik dalam kalangan 231 buah bandar itu membantu syarikat-syarikat dan organisasi menentukan nilai elaun saguhati berdasarkan kesukaran hidup bagi pekerja-pekerja antarabangsa. Ia menghimpunkan maklumat dari pelbagai kriteria seperti kestabilan politik, rawatan kesihatan, pendidikan, jenayah, rekreasi, kos sara hidup dan pengangkutan.

Bandar raya terkemuka seperti London, Paris, Tokyo dan New York juga tidak termasuk dalam kedudukan 30 teratas, malah didahului oleh bandar-bandar dari Jerman, Scandinavia, New Zealand dan Australia.

Singapura adalah kota dari Asia yang meraih kedudukan paling tinggi dalam senarai tersebut iaitu di kedudukan ke-25 manakala San Francisco adalah bandar raya Amerika Syarikat terbaik pada kedudukan ke-29.

Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-86 di belakang Warsaw, Bratislava, Port Louis dan Taipei. Kedudukan Kuala Lumpur diletakkan lebih nyaman daripada bandar raya dunia lain seperti Busan, Buenos Aires, Johannesburg dan Shanghai.

Johor Bahru pula tersenarai di kedudukan ke-103.

Bandar raya Asia Tenggara lain dalam senarai tersebut adalah Bandar Seri Begawan (104), Bangkok (131), Manila (135), Jakarta (143), Ho Chi Minh City (152), Hanoi (156), Vientiane (171), Phnom Penh (198) dan Yangon (203).

Kedudukan tercorot adalah Baghdad di tangga 231 selain Khartoum, Sudan (227), Port au Prince, Haiti (228), Sana’a, Yaman (229) dan Bangui, Afrika Tengah (230).

Senarai penuh boleh dilihat di laman web www.imercer.com

(Astro Awani)

[4791341]

Facebook Comments