Teresa Kok berdolak-dalik

KUALA LUMPUR 14 Mac – Tindakan Ahli Parlimen Seputeh yang cuba lari daripada tuduhan menyeleweng dana Yayasan Warisan Anak Sela­ngor (Yawas) jelas membuktikan ke­lemahan dan ketidaktelusan da­lam menguruskan tabung ter­sebut.

Jamal Md. Yunos

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, meskipun Teresa Kok menjawab persoalan yang dikemukakannya namun ja­wapan tersebut dianggap tidak ikhlas dan disifatkan berdolak-dalik.

Katanya, pada mulanya Teresa menafikan pernah menerima wang daripada Yawas, namun sehari kemudian, Ahli Parlimen Seputeh itu mengaku menerima dana tersebut.

Jelas Jamal, Ahli Parlimen Seputeh itu menerima peruntukan daripada Yawas berjumlah RM1,997,000 sehingga 25 Februari lalu, namun persoalan yang ingin dikemukakan adalah mengapa sehingga hari ini masih terdapat keluarga yang belum menerima bantuan tersebut sedangkan Teresa mempu­nyai kad mesin juruwang automatik (ATM) Ambank yang boleh mengeluar­kan dana Yawas pada bila-bila masa.

“Setakat ini terdapat tujuh kes waris keluarga yang meninggal tidak menerima dana RM1,000 walaupun sudah mencecah hampir 84 hari sedangkan peruntukan itu perlu diberikan dengan serta-merta.

“Malah terdapat 55 buah keluarga masih belum menerima baki bayaran berjumlah RM1,500 walaupun telah menunggu hampir dua tahun kerana pejabat daerah mendakwa tidak dapat mempro­ses bayaran baki tertunggak dise­babkan mereka tidak menerima laporan lengkap daripada pejabat Ahli Parlimen Seputeh,” kata Jamal dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, kuasa pemberian wang ihsan di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) selama ini diberikan kepada Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang dike­tuai DAP di Wilayah Persekutuan juga tidak relevan.

“Jika mereka berbuat demikian kerana ramai warga Sela­ngor yang bermastautin di Kuala Lumpur, kenapa kuasa yang sama tidak diberikan kepada Ahli Parlimen di negeri lain yang turut mempunyai rakyat Sela­ngor,” katanya.

(Utusan Online)

[4790535]

Facebook Comments