Jangan abai pengundi di bandar: Khairy

KHAIRY Jamaluddin berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bahagian Puchong di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). – Foto Saddam Yusoff

SERDANG: UMNO perlu sedar daripada lamunan dan memberi tumpuan terhadap masyarakat bandar yang selama ini dilabel sebagai penyokong tegar pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menyifatkan masyarakat di kawasan bandar adalah pengundi hijrah yang berupaya mempengaruhi pola pengundian di seluruh negara.

“Kita selalu anggap pengundi bandar terutama di kawasan ‘hitam’ tidak perlu diberikan perhatian untuk meraih undi mereka kerana kononnya golongan ini `hati batu’ dan memberi sokongan kepada pembangkang.

“Saya nak tegaskan kumpulan ini (masyarakat bandar) penting kerana mereka akan balik ke kampung dan sebarkan propaganda pembangkang, sekali gus mempengaruhi sokongan rakyat luar bandar.

“Oleh itu, jangan kita `pilih bulu’ dengan hanya memberi tumpuan kepada kawasan putih dan kelabu, manakala hitam terus dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya pada ucaptama merasmikan Majlis Berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Puchong 2017 di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Dr Mohamad Satim Diman.

Khairy berkata, tumpuan terhadap masyarakat bandar juga menjadi sandaran kemenangan UMNO kerana kawasan ibu kota adalah ‘nadi’ penyebaran maklumat di seluruh negara.

“Kajian membuktikan penggunaan WhatsApp, WeChat, Facebook adalah paling tinggi di bandar, justeru jangan kita leka dengan fakta ini dengan abaikan mereka kerana golongan ini penentu rangkaian berita,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata ahli UMNO dari peringkat akar umbi hingga kepemimpinan tertinggi wajar menetapkan sasaran baharu dengan memenangi PRU-14 secara bergaya.

Sehubungan itu, katanya, kemenangan UMNO dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional perlu merangkumi undian popular dan kerusi di Dewan Rakyat.

“Biar kita menang dengan bergaya supaya pembangkang tidak berterusan mempersoalkan kesahihan keputusan PRU, kononnya BN dan UMNO kalah kerana gagal meraih undi popular.

“Selain itu, modal BN dan UMNO kalah undi popular ini secara berterusan digunakan dalam pelbagai demonstrasi jalanan untuk meracuni pemikiran rakyat,” katanya.

(BHONLINE)

[4790275]

Facebook Comments