Inovasi kamera

















Sejak telefon pintar direka, antara ciri yang menjadi tumpuan inovasinya ialah fungsi kamera yang berubah dari tahun ke tahun.

Kamera dalam telefon pintar kini menyamai kekuatan sama pada kamera digital yang kita mungkin miliki lima hingga enam tahun lalu.

Cuma kali ini ia dimuatkan bersama dalam peranti yang boleh membuat panggilan dan dihubungkan ke Internet.

Sejak dulu, kamera berperanan penting dalam aspek fotografi dan sejarah kamera digital pertama direka pada Disember 1975 oleh Steve Sasson yang juga jurutera syarikat Kodak.

Kamera digital seberat 3.6 kilogram itu bagaimanapun hanya mampu merakam 0.01 megapiksel gambar hitam dan putih ke dalam kaset.

Ia mengambil masa selama 23 saat untuk merakam gambar.

Untuk melihat semula gambar itu, data dibaca dari kaset dan kemudian ditayangkan di televisyen. Walaupun kualiti gambar tidak memuaskan, penciptaan kamera ini membawa kepada teknologi digital yang terdapat pada kamera hari ini.

Kemudian anda boleh saksikan teknologi kamera digital dimuatkan dalam telefon dan syarikat dari China, Oppo antara yang mencuri tumpuan apabila fokus kepada pembangunan kamera telefon sejak produk pertama, N1 mereka diperkenalkan.

Selain itu, Oppo mengambil kesempatan terhadap populariti Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) untuk memperkenalkan inovasi Malaysia kepada masyarakat dunia dengan inovasi yang ditawarkan.

Sejak tahun lalu, Oppo menampilkan kelainan yang memberi impak kepada industri.

Misalnya, syarikat terbabit memperkenalkan sistem pengecas pantas Super VOOC Flash Charge pada MWC 2016 yang mengecas penuh model telefon dalam masa 15 minit saja, inovasi yang kemudian turut diguna pakai beberapa pengeluar telefon pintar lain.

Oleh itu, kehadiran Oppo pada MWC 2017 ditunggu bukan untuk melihat apakah model telefon dipamerkan tetapi keupayaan teknologi yang menjadikannya lain daripada yang lain.

Terbukti, ia berbaloi untuk ditunggu dengan pengenalan inovasi baru membabitkan kamera telefon pintar pada masa depan dikenali dan dipromosikan sebagai 5x.

5x membabitkan teknologi zum pada kamera telefon pintar yang menghasilkan imej tidak ‘pecah’ meskipun jaraknya jauh, sesuatu yang belum begitu diteroka kebanyakan pengeluar telefon pintar di dunia.

Paling dekat, perubahan yang cuba dilakukan iPhone 7 Plus dengan zum kamera dua kalinya nampak positif namun bakal tenggelam dengan inovasi baru Oppo itu.

Teknologi baru terbabit diperkenalkan Oppo pada satu telefon pintar prototaip bersaiz hampir enam inci ketika MWC 2017.

Kalau diingat kembali rekod Oppo dengan kamera anda boleh imbas model N1 yang mempunyai kamera boleh putar pertama di dunia sekali gus merubah konsep industri bagi kamera dipasang pada telefon.

Jadi tidak mustahil inovasi baru ini mampu menjanjikan perubahan dalam industri meskipun ia bukan kamera boleh putar.

Zum 5x pada telefon Oppo baru beroperasi hampir sama dengan kamera pada iPhone 7 Plus apabila ia mempunyai sensor kamera biasa dan lensa yang ditempatkan sebelah menyebelah pada ruang atas belakang telefon.

Ia mempunyai lensa telefoto 5 dan sensor.

Cabaran untuk memuatkan lensa dalam telefon bagi mengelakkan kamera tersembul keluar di bahagian belakang kamera memang menjadi cabaran bagi pengeluar telefon pintar.

Bagi Oppo, cabarannya untuk memastikan ketebalan 9mm kamera tidak menjejaskan tahap kenipisan telefon pintarnya.

Jadi, Oppo mengubah penyelesaian kepada satu kaedah iaitu teknik struktur periskop yang mengurangkan masalah fokus dan zum pada telefon pintar nipis sekali gus memberikan pengalaman rakaman foto menarik kepada pengguna.

Secara mudahnya, gaya periskop pada dwi kamera yang sudah ada dalam telefon pintar menjadikan rakaman foto lebih jelas dan stabil walaupun anda sudah zum sehingga lima kali.

Kalau tidak percaya, cuba anda zum sehingga habis kamera pada telefon pintar dan lihat sendiri hasilnya.

Itupun zum terbabit sebenarnya bukan lima kali seperti yang disediakan Oppo.

Selepas 12 bulan kerja keras dalam pembangunan inovasi terbabit, Oppo berjaya menghasilkan teknologi dwi kamera gaya periskop yang unik apabila memantulkan cahaya yang masuk pada prisma dan memasukkannya dalam lensa telefoto yang tidak menjejaskan reka bantuk telefon itu sendiri.

Pemantulan 90 peratus prisma terbabit membolehkannya melepasi lima siri elemen dalam lensa yang disusun dalam kamera telefon Oppo nanti.

Ternyata, mengikut pemerhatian IT@Metro, ia berjaya menghasilkan kualiti rakaman terbaik dan tidak seperti iPhone 7 Plus, kedua kamera Oppo mempunyai penstabil imej optikal yang memastikannya rakaman terbabit benar-benar stabil.

Sistem penstabil imej terbabit memperbaharui 40 peratus OIS pada telefon sekarang dan ketepatan kepada 0.0025 darjah.

Kedua-dua prisma dan lensa zum 5x menggunakan motor penstabil yang lebih komplikated berbanding kebanyakan pesaing di luar.

Menggunakan telefon pada 5x zum pada Oppo memang nampak hebat apabila pergerakan imej yang cuba dirakam lebih stabil dan lancar.

IT@Metro mencuba butang zum pada aplikasi kamera dan telefon prototaip Oppo terbabit mempunyai pilihan zum 1x, 2x dan 5x.

Pada zum 5x, Oppo menampakkan kualiti yang jauh lebih hebat berbanding iPhone 7 Plus pada perincian, tahap piksel, warna dan jarak dinamik (dynamic range) yang mengagumkan.

Kesemua tahap zum menghasilkan gambar 13 megapiksel mencadangkan sensor baru pada Oppo nanti sudah pasti sekurang-kurangnya berada pada paras angka terbabit meskipun Oppo sebenarnya mampu menghasilkan imej rakaman 40 megapiksel pada kamera 13 megapikselnya saja.

Dalam masa beberapa bulan ini, anda boleh menyaksikan produk pertama dengan zum 5x dan saya boleh katakan, ia pasti hebat.

(myMetro)

[4790160]

Facebook Comments