PPBM Mahu Jalin Kerjasama Dengan Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini mengumumkan keinginan mereka untuk bekerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan, namun meletakkan beberapa syarat termasuk menukar nama pakatan pembangkang itu.

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mereka mahukan pakatan pembangkang itu menggunakan identiti baharu seperti nama gabungan, logo dan satu manifesto bersama untuk menghadapi pilihan raya umum nanti.

“Kami akan nyatakan kepada Pakatan Harapan keinginan kami untuk menyertai mereka dengan sedikit penyesuaian pada nama, sekiranya diterima.

“Kami setuju perlu selain nama yang baharu, kami juga ingin adakan logo dan simbol untuk pilihan raya, mempunyai satu manifesto dan hanya akan letak satu calon sahaja bagi mewakili gabungan ini (di setiap kawasan),” kata Dr Mahathir kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengenai hubungan dengan PAS, Dr Mahathir berkata PPMB bersikap terbuka sekiranya PAS mahu menganggotai gabungan yang bakal dibentuk itu.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4789104]

Facebook Comments