PAS tidak ada masa layan Husam – Idris Ahmad

NAIB Presiden PAS, Idris Ahmad (kiri) dan Datuk Husam Musa. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: PAS mempunyai agenda lebih penting, termasuk membuat persediaan penuh menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sekali gus tidak mempunyai masa untuk melayan ‘permintaan’ tidak munasabah daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata Husam yang mahu bekas pemimpin parti itu didakwa di mahkamah syariah kerana melanggar sumpah taklik dan baiah, juga dilihat tidak berbaloi untuk dibincangkan dalam mesyuarat PAS Pusat.

“Kita tidak pernah bincang bab (isu) itu, tidak bincang, tidak peduli pun kerana dia bukan lagi ahli kita, (malah beliau) nak jatuhkan PAS di Kelantan.

“Banyak lagi agenda besar, seperti (persediaan menjelang) PRU-14,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Husam mencabar PAS Kelantan mengheret bekas pemimpin parti itu ke Mahkamah Syariah kerana melanggar baiah parti.

Ia antara lain menyebut mereka jatuh talak dengan isteri masing-masing sekiranya meninggalkan PAS.

(BHONLINE)

[4788299]

Facebook Comments