DAP Cabar Goh Ulang Dakwaan Penipuan Pajakan Tanah Di Luar Sidang DUN

MELAKA, 14 Mac (Bernama) — Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong hari ini mencabar Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong Goh Leong San mengulangi dakwaan penipuan pajakan tanah melibatkan dirinya (Khoo) di luar Persidangan DUN Melaka.

Khoo yang juga ketua pembangkang dan anggota DUN Ayer Keroh mendakwa sebagai seorang anggota DUN berpengalaman, Goh mengetahui akan didakwa di mahkamah sekiranya mengulangi dakwaan itu di luar persidangan itu.

“Dia (Goh) tahu implikasinya sekiranya isi kandungan laporan polis itu disebut di luar dewan (persidangan DUN) dia akan didakwa di mahkamah, sebab itu dia memilih membuatnya (membuat dakwaan) di dalam dewan.

“Saya hendak Duyong (Goh) menarik balik apa dia kata dalam dewan dan meminta maaf kepada saya, dan saya ingatkan kepada yang lain hentikan komen atau kritikan tidak betul kepada saya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada persidangan DUN Melaka minggu lepas, Goh mengajukan soalan lisan tentang hasil siasatan terhadap laporan polis berhubung satu kes didakwa penipuan pajakan tanah melibatkan kerugian RM976,300 yang menyebut nama Khoo dalam laporan polis itu.

Bercakap kepada pemberita di luar persidangan itu minggu lepas, Khoo mengakui transaksi itu berlaku namun menegaskan ia merupakan transaksi ‘tulen’ dan bukannya suatu penipuan.

Turut hadir pada sidang akhbar hari ini dua individu yang dinamakan dalam laporan polis itu iaitu ahli perniagaan Wong Chi Sing, 54, dan petugas pemasaran Chua Soon Teck, 29, bagi menerangkan dengan teliti urusniaga pajakan tanah itu.

Sementara itu, beliau berkata pihak DAP Melaka sehingga hari ini masih tidak menerima sebarang makluman rasmi mengenai 182 anggota DAP negeri ini bertindak keluar parti.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4787666]

Facebook Comments