UMNO Jelebu Yakin Dapat Rampas Kembali DUN Chennah Daripada DAP

JELEBU, 14 Mac (Bernama) — UMNO bahagian Jelebu yakin dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah daripada penguasaan DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Datuk Jalaluddin Alias berkata ia bersandarkan kepada hasil program-program yang sudah dijalankan yang kini telah menampakkan impak positif sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Pada pilihan raya umum ke-13, kita terlepas DUN Chennah kepada pembangkang, tetapi kali ini kita tidak akan lepaskan lagi kepada DAP. Ini bukan takbur kerana saya yakin dengan sahabat-sahabat komponen saya bahawa kita boleh merampas kembali DUN ini.

“Kita nak hadiahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan kemenangan di Parlimen Jelebu dan empat DUN di bawahnya kekal milik BN,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau ditemui selepas perasmian persidangan berkelompok UMNO cawangan Bahagian Jelebu oleh Anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar di Simpang Pertang, di sini.

Jalaluddin berkata kegagalan pembangkang di DUN itu dalam membela nasib rakyat adalah antara faktor utama yang menyebabkan beralihnya sokongan kepada BN.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan semangat kerja berpasukan yang tinggi di kalangan anggota UMNO dan parti komponen akan terus diperkukuhkan demi kemenangan parti dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita jangan leka, teruskan memberi bantuan kepada akar umbi,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, DUN Chennah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Siow Foo Wen daripada BN dan Anthony Loke Siew Fook daripada DAP. Siow kalah kepada Loke dengan majoriti 1,098 undi.

Bagaimanapun, BN menguasai tiga DUN lain iaitu Sungai Lui, Klawang dan Pertang selain menang di kerusi Parlimen Jelebu pada PRU13 yang lepas.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4786957]

Facebook Comments