Sultanah Pahang ialah Penaung Diraja pertama Friends to Mankind


Pengasas FtoM, Dhyan Vimal berharap pelantikan Sultanah sebagai Penaung Difraja dapat menghasilkan dan memperkenalkan lagi misi dan mesej pertubuhan itu kepada dunia. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom dilantik sebagai Penaung Diraja pertama sebuah pertubuhan kemanusiaan antarabangsa bukan berasaskan keuntungan, Friends To Mankind (FtoM) di sini, pada Isnin.

Pengasas FtoM, Dhyan Vimal berharap pelantikan Sultanah sebagai Penaung Diraja dapat menghasilkan dan memperkenalkan lagi misi dan mesej pertubuhan itu kepada dunia.

“Sebelum ini, Sultanah Kalsom juga ialah penaung untuk filem pertama keluaran kami, ” Temuan Takdir,” katanya pada sidang media selepas majlis pelantikan di kediaman Sultanah Hajah Kalsom di sini pada Selasa. FtoM telah menjalankan beberapa projek komuniti termasuk Project Dignity Initiatives, bertujuan untuk membangunkan kemahiran hidup di kalangan remaja dengan memperkenalkan program mentor, internship, latihan praktikal dan bengkel.

Satu lagi projek diketuai oleh FtoM ialah “Actions Causing Transformation” (ACT) yang menggalakkan individu untuk memulakan projek yang boleh membantu mereka yang memerlukan, seperti memberi makan golongan miskin, menyediakan tuisyen untuk mereka yang kurang bernasib baik dan menghijaukan persekitaran.

Sementara itu, Vimal, yang juga pengarah filem yang meraih anugerah, Temuan Takdir memberitahu filem keluarannya yang akan datang bertemakan inspirasi dijangka ditayangkan tahun depan.

Beliau berkata filem tersebut berkisar tentang perjalanan seorang budak untuk mencari makna kehidupan.

Pengarah kelahiran tempatan itu percaya bahawa pengamal filem tidak hanya perlu mengkomersialkan filem mereka tetapi juga harus menggunakannya sebagai medium untuk orang ramai belajar dan berkembang.

FtoM, ditubuhkan pada 2004 dan berpangkalan di Kanada mempunyai wakil di seluruh dunia termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Switzerland, Sepanyol dan Sweden.

Pertubuhan itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dalam mewujudkan dan mengekalkan keamanan, memelihara alam sekitar serta memperkasakan peranan dan kemahiran belia. — Bernama

(Astro Awani)

[4786054]

Facebook Comments