Pembangunan berciri hijau cara Denmark



Oleh DR. SHUREEN FARIS ABDUL SHUKOR
Jabatan Senibina Landskap,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Universiti Putra Malaysia
PEMBANGUNAN mampan bukan pilihan yang tidak tercapai tetapi ia merupakan satu keperluan yang tidak dapat dinafikan pada masa ini.

Usaha untuk menyeimbangkan kualiti kehidupan penduduk dengan keadaan ekonomi dan pembangunan persekitaran perlu diberi penekanan di bandar-bandar di Malaysia.

Copenhagen yang merupakan ibu negara Denmark telah dikenali di peringkat antarabangsa sebagai negara yang mengamalkan pembangunan berciri hijau serta mengaplikasikan penyelesaian perancangan bandar secara integrasi.

Selama beberapa dekad, penyelesaian perancangan bandar yang diamalkan oleh bandar Copenhagen ini berjaya mempromosikan tahap kehidupan yang lebih baik, persekitaran yang sihat dan kemakmuran ekonomi di negara Scandinavia ini.

Aplikasi yang dinamakan systemic sustainable urban solutions atau penyelesaian bandar mampan sistemik ini telah dihasilkan oleh para arkitek Denmark bersama perancang bandar, jurutera, kontraktor, pelabur dan majlis perbandaran telah menjadikan Copenhagen sebagai peneraju dunia dalam pembangunan mampan.

Malah, sistem ini telah diaplikasikan di bandar-bandar di seluruh dunia. Usaha ini telah berjaya menjadikan bandar Copenhagen sebagai bandar raya neutral karbon dioksida yang pertama di dunia.

Bandar Copenhagen telah dihidupkan melalui aplikasi beberapa strategi seperti pemadatan, transformasi dan pengubahsuaian cara kehidupan di bandar.

Kehidupan sosial bandar, penyelesaian mampan dan perancangan bandar dianggap sebagai aspek penting dalam menghidupkan kembali bandar.

Sejak dua dekad lalu, Copenhagen telah mewujudkan landasan iaitu majlis perbandaran, syarikat awam serta swasta dan masyarakat untuk dialog terbuka dalam usaha mengetahui keperluan membangunkan konsep mampan di bandar.

Strategi keseluruhan adalah penting. Memahami pasaran dan fokus yang tinggi terhadap pelaburan amat penting di bandar Copenhagen apabila menghasilkan pelan induk bandar. Semua pelan induk perlu memberi fokus kepada:

– Fasiliti bandar dibina sekitar pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

– Pembinaan kawasan yang mempunyai kemudahan pelbagai seperti menggabungkan kawasan perumahan dengan kawasan perniagaan dagang serta runcit untuk memastikan ekonomi berterusan serta menghidupkan kawasan bandar yang baharu dibangunkan.

– Bangunan baharu dipastikan dibina mengikut kelas bangunan penjimatan tenaga dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida

Membina bandar bijak atau smart city memerlukan intervasi pihak berkuasa serta pendekatan menyeluruh untuk pembangunan yang berkesan.

Ia boleh dicapai dengan melibatkan secara langsung institusi perniagaan, institusi pembekal maklumat serta penduduk dalam menghasilkan penyelesaian bijak untuk bandar. Penggunaan data dan teknologi terkini telah digunakan untuk penyelesaian masalah perancangan di bandar.

Penggunaan teknologi di bandar Copenhagen didapati dapat mengurangkan pengeluaran karbon dengan adanya implementasi sensor yang memberi maklumat terkini mengenai situasi di bandar. Antara langkah yang diambil:

– Tempat meletak kenderaan di sekitar bandar didaftarkan dan dikongsi secara langsung untuk mengurangkan masa mencari ruang parkir

– Trafik dipantau dan diselaraskan secara langsung untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida

– Sensor diadakan untuk memantau penggunaan air, keadaan bunyi bising, cuaca seharian, bahan buangan serta sistem kumbahan

Bandar lima minit

Dengan memberi keutamaan kepada penunggang basikal, pejalan kaki dan pengangkutan awam, bandar di Denmark seperti di Nordhavnen telah memberi fokus yang tinggi kepada mobiliti hijau.

Rujukan kepada bandar ‘lima minit’ menerangkan mengenai masa yang diambil untuk berjalan sejauh 400 meter. Konsep ini bertujuan memudahkan penduduk berjalan, berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam di Nordhavnen.

Perancangannya adalah untuk menyasarkan satu pertiga trafik yang terdiri daripada penunggang basikal, satu pertiga penduduk akan menggunakan pengangkutan awam dan satu pertiga lagi dijangka menggunakan kenderaan persendirian.

(Kosmo)

[4785034]

Facebook Comments