Kebiadaban Teresa singgung sensitiviti orang Melayu

KUALA LUMPUR 13 Mac – Tindakan Teresa Kok menceroboh kenduri kahwin menunjukkan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak pandai menjaga sensitiviti kaum malah tindakannya jelas menunjukkan kebiadabannya terhadap orang Melayu.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, tindakan Teresa itu menggambarkan cara berpolitik yang cukup menjengkelkan.

Menurut beliau, Teresa boleh mengadakan sidang akhbar di pejabatnya yang terletak tidak sampai satu kilometer dari dewan berkenaan sekali gus tidak perlu mengganggu kenduri kahwin yang berlangsung.

“Saya cukup malu dengan cara Teresa kerana sanggup men­ceroboh kenduri kahwin keluarga kaum Melayu yang sedang berlangsung dengan menggunakan alasan yang diberikan kerana ingin mengadakan sidang akhbar di dewan berkenaan untuk membantah pembinaan rumah mampu milik di tapak dewan berkenaan.

“Malah saya ingin bertanya dengan Teresa, selama dia menjadi Ahli Parlimen Seputeh, sudah berapa banyak pembangunan yang telah dibawa untuk dinikmati oleh penduduk di parlimen berkenaan? Untuk ini, boleh saya katakan Teresa jangan hanya ambil gaji buta sebagai Ahli Parlimen kerana langsung tidak membawa apa-apa perubahan dalam kawasannya,” katanya melalui satu kenyataan dalam laman blog milik beliau, datukhuanpcm.blogspot.my hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu majlis perkahwinan yang sedang berlangsung di Dewan Komuniti Seputeh pada 11 Mac tergendala seketika gara-gara Ahli Parlimen Seputeh, Teresa mengadakan protes membantah pembinaan projek rumah mampu milik di kawasan berkenaan.

Sikap biadab Teresa dan kumpulannya yang mengganggu kelancaran majlis perkahwinan itu dilaporkan menerusi laman blog Kl Chronicle dan turut dikongsi pengguna-pengguna Facebook.

Jelas Cheng Guan, tindakan Teresa itu dikhuatiri boleh men­cetuskan ketegangan kaum berikutan sikapnya tidak menghormati sensitiviti orang Melayu.

Sementara itu, Ke­tua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Hussin menyifatkan sikap yang dilakukan oleh Teresa dianggap gila dan biadab kerana menunjukkan sikap perkauman kepada orang Melayu.

Beliau yang juga merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, tindakan tersebut menunjukkan Ahli Parlimen Seputeh itu sudah hilang sensitiviti dan rasa hormat terhadap orang Melayu.

“Saya anggap perbuatan beliau itu seperti orang gila kerana dilihat cuba mencetuskan provokasi dan memperlekehkan bangsa Melayu memandangkan majoriti pengundi di kawasan Parlimen tersebut berbangsa Cina.

“Sebagai seorang yang bergelar wakil rakyat, beliau tidak boleh berkelakuan sebegini malah ini membuktikan Pakatan Harapan yang diketuai DAP tidak menghormati orang Melayu,” jelasnya.

(Utusan Online)

[4784860]

Facebook Comments