Hapus prejudis, sokong hak wanita


LANGKAH meningkatkan kadar pekerja wanita di institusi awam membolehkan mereka lebih ramai di sektor pekerjaan, meningkatkan inovasi, memperbaiki sistem membuat keputusan dan memberi faedah kepada keseluruhan masyarakat.

HAK wanita juga memberi makna sama dengan hak asasi manusia. Bagaimanapun, dalam suasana sekarang yang penuh dengan masalah, ketika dunia kita berkeadaan semakin tidak menentu dan huru-hara, hak wanita dan golongan remaja perempuan boleh dilihat sebagai makin dikurangkan, dikenakan had dan peranannya diterbalikkan.

Oleh yang demikian, usaha untuk memperkuatkan hak wanita dan remaja perempuan adalah satu-satunya cara untuk melindungi mereka dan memastikan mereka dapat merealisasikan potensi diri sepenuhnya.

Cuma, diskriminasi terhadap wanita dan remaja perempuan semakin meningkat jika mengambil kira ketidakseimbangan dari segi kuasa gender antara lelaki dan wanita. Perkara itu juga semakin teruk kerana jurang yang semakin luas antara jantina dalam sesebuah masyarakat dan negara termasuk antara negara yang mencapai tahap baharu.

Kita boleh lihat di seluruh dunia, aspek pemikiran tradisional, nilai budaya dan agama disalahgunakan untuk menyekat hak wanita selain menambahkan lagi ketidakadilan antara jantina dan amalan tertentu yang sebenarnya perbuatan bertujuan meningkatkan lagi sikap prejudis terhadap wanita.

Jurang jantina

Malah, hak wanita dari segi perundangan yang tidak pernah sama taraf dengan lelaki di mana-mana benua di dunia ini, semakin terhakis. Ada pihak turut mempersoalkan hak wanita menjaga anggota tubuh mereka dan turut cuba menjejaskannya. Wanita juga biasa menjadi sasaran peras ugut dan ancaman sama ada di ruang siber mahupun dalam alam sebenar.

Dalam beberapa kes paling teruk, golongan ekstremis dan pengganas membina ideologi untuk menindas wanita dan remaja perempuan, termasuk melakukan keganasan berpunca daripada keperluan seks, perkahwinan yang diatur hinggalah menjadi umpama hamba.

Meskipun ada keadaan tertentu menunjukkan kehidupan mereka lebih baik, kedudukan pada peringkat kepemimpinan masih dipegang oleh lelaki, keseluruhannya. Selain itu, jurang jantina dari segi kemantapan ekonomi semakin luas, sebahagian besarnya disebabkan sikap ketinggalan zaman dan lelaki yang terlalu ego.

Atas sebab itu, kita mestilah cuba mengubahnya dengan membantu wanita mendapat kedudukan lebih tinggi di semua peringkat, membolehkan suara mereka didengar dan membolehkan mereka mengawal kehidupan masing-masing dan seterusnya menjamin kelangsungan masa depan masyarakat seluruh dunia.

Sehubungan itu, perbuatan menyekat hak diberi kepada wanita bukan sahaja tidak boleh diperkatakan sebagai salah, ia memberi kesan besar sosial dan impak ekonomi yang menghalang kita maju ke hadapan.

Apa yang perlu difahami dan diterima ialah persamaan taraf antara jantina membawa kesan pembaharuan yang amat diperlukan ke arah membantu masyarakat, komuniti dan ekonomi berfungsi sebaik-baiknya.

Sebagai contoh yang jelas, akses wanita kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan benar-benar memberi manfaat kepada keluarga mereka serta masyarakat hingga dirasai generasi masa depan. Seorang remaja perempuan yang menghabiskan lebih daripada setahun di sekolah akan membantunya memperoleh pendapatan 25 peratus lebih tinggi.

Selain itu, apabila wanita mengambil bahagian sepenuhnya dalam sektor buruh atau pekerjaan, ia memberi lebih banyak peluang kerja selain meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi.

Lebih penting lagi, mengurangkan jurang jantina dalam sektor pekerjaan akan membolehkan pertambahan keuntungan sebanyak AS$12 trilion (RM53.3 trilion) kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) global menjelang 2025.

Perlu juga ditekankan bahawa langkah meningkatkan kadar pekerja wanita di institusi awam membolehkan mereka lebih ramai di sektor pekerjaan, meningkatkan inovasi, memperbaiki sistem membuat keputusan dan memberi faedah kepada keseluruhan masyarakat.

Persamaan taraf antara jantina juga adalah satu faktor penting kepada Agensi Bagi Pembangunan Mapan (SDG) 2030, pelan global yang dipersetujui pemimpin semua negara untuk menyahut cabaran dihadapi. Matlamat ke-5 SDG merujuk secara spesifik kepada langkah mewujudkan persamaan taraf antara jantina dan memberi kuasa kepada semua wanita dan remaja perempuan adalah elemen terbesar untuk pencapaian 17 matlamat SDG.

Tingkat penyertaan wanita

Sehubungan itu, saya amat komited kepada usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keselamatan dan keamanan yang membabitkan badan dunia. Kehadiran juruperunding wanita meningkatkan peluang untuk mencapai keamanan berkekalan manakala pembabitan wanita sebagai anggota pengaman mengurangkan eksploitasi dan penyelewengan seks.

Atas sebab berkenaan, dalam pengurusan PBB, saya telah menetapkan peta hala tuju jelas meliputi kayu pengukur untuk mencapai persamaan taraf antara jantina membabitkan keseluruhan aspek operasi. Perkara ini dibentuk sebegitu rupa supaya organisasi ini benar-benar mewakili penduduk dunia. Ada beberapa sasaran sebelum ini tidak dapat dicapai. Jadi, sekarang kita mesti bergerak daripada cita-cita kepada tindakan.

Oleh itu, pada hari sambutan Hari Wanita Antarabangsa, marilah kita semua berikrar melakukan apa juga perkara untuk mengatasi prejudis, menyokong merapatkan hubungan dan gerakan selain mempromosi persamaan antara jantina dan terus menyokong emansipasi wanita.

(BHONLINE)

[4779829]

Facebook Comments