Kursus teknologi perladangan organik


Oleh Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek
Ketua Pengarah Pertanian Malaysia
KESEDARAN kepada pertanian organik mula menampakkan peningkatan signifikan disebabkan faktor kelestariannya terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

Pertanian organik ialah sistem pertanian yang tidak melibatkan penggunaan bahan kimia sintetik seperti baja dan racun perosak. Ia bertujuan memelihara alam sekitar bagi menghasilkan produk yang selamat dimakan dan berkualiti.

Semakin hari ramai yang sedar bahawa penggunaan baja organik dapat memperbaiki kesuburan tanah, memelihara dan memulihara kitaran biologi sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Justeru, sebagai salah satu usaha mewujudkan pusat yang berfungsi untuk orang ramai mendapatkan khidmat nasihat dan latihan berkenaan, perladangan organik ialah melalui Pusat Informasi Teknologi Perladangan Organik yang dilancarkan pada 4 Mac sempena Hari Terbuka Bahagian Hortikultur dan Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur.

Permintaan

Sempena hari terbuka tersebut, pusat ini telah menganjurkan kursus Pengenalan Teknologi Fertigasi Halia, Cantuman Anak Pokok Buah-Buahan, Penghasilan Baja Organik dan Edibel Landskap.

Kursus-kursus ini telah mendapat penyertaan daripada sekitar 100 peserta bagi setiap kursus.

Selain kursus, turut diadakan ialah jualan tanah campuran bermikrob, produk kelulut, peralatan pertanian dan baja organik. Di samping itu, pelbagai hasil pertanian dari ladang seperti jagung manis, buah-buahan dan sayur-sayuran, anak pokok buah-buahan dan herba seperti durian, mangga, durian belanda, pokok rerama, basil serta benih sayur-sayuran turut dijual.

Hari terbuka ini akan diadakan setiap tiga bulan sekali bagi memenuhi permintaan orang ramai. Pusat Informasi Teknologi Perladangan Organik turut menyediakan pameran bagi tanaman yang ditanam secara organik sebagai rujukan dan panduan tatacara perladangan organik kepada orang ramai.

Orang ramai boleh datang melihat dan belajar tentang kaedah-kaedah penanaman perladangan mesra alam bersama pegawai-pegawai terlatih dari Jabatan Pertanian dan usahawan projek ladang organik yang terlibat di pusat ini.

Pusat ini juga menjadi rujukan banyak pihak daripada jabatan, agensi, badan bukan kerajaan dan orang ramai sebagai pemudah cara dalam bidang perladangan organik.

Tahun ini, beberapa kursus akan dijalankan iaitu merangkumi kaedah pembuatan input-input organik dan cara-cara penggunaannya. Selain itu, kursus pembuatan produk-produk kawalan serangga dan penyakit yang berasaskan bahan semula jadi turut dijalankan.

Antara kursus yang dirancang ialah pembuatan dan cara penggunaan plant booster. Plant booster merupakan fitohormon yang dihasilkan secara proses semula jadi menggunakan teknik penghuraian oleh mikroorganisma.

Ia merupakan penggalak tumbuhan untuk merangsang pertumbuhan pokok dan meningkatkan hasil pengeluaran.

Kursus Bio Nutrien ialah satu proses penghasilan nutrien atau baja kepada tumbuhan daripada bahan-bahan semula jadi secara teknik fermentasi yang menggunakan mikroorganisma sebagai ejen pengurai. Baja yang dihasilkan merupakan baja organik.

Kursus pembuatan dan cara penggunaan bio repellent iaitu hasil proses fitokimia menggunakan bahan-bahan semula jadi bagi menghalau serangga perosak.

Bebas kimia

Bio repellent bukan racun, sebaliknya ia adalah bahan semula jadi dan tidak berbahaya kepada manusia. Penggunaan bio repellent menjamin keselamatan makanan ia bebas daripada bahan kimia dan racun.

Kursus pembuatan indigenous microorganisms (IMO) merupakan satu teknik memerangkap sekumpulan mikro organisma tempatan (indigenous) yang digunakan untuk meningkatkan kesuburan tanah. Antara kumpulan mikroorganisma yang dikenal pasti dalam teknik ini adalah bakteria fotosintetik, bakteria asid laktik, yis, aktinomiset dan jenis-jenis kulat fermentasi.

Selain itu, kursus pemprosesan sisa dapur menjadi kompos untuk media tanaman juga akan dilaksanakan.

(Kosmo)

[4779498]

Facebook Comments