Astro sumbang lebih 2,000 dekoder menerusi program NJOI e-Kasih di Sarawak


Sebahagian daripada penerima di Majlis Penyerahan Dekoder NJOI e-Kasih di Samariang, di Kuching hari ini. – Foto Astro AWANI

KUCHING: Astro hari ini menyumbang lebih 2,000 set dekoder kepada penerima program e-Kasih di negeri Sarawak yang membolehkan mereka menerima perkhidmatan TV satelit percuma dengan akses kepada 48 saluran tv dan radio.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selaras dengan objektif dan misi kerajaan dalam membangunkan banyak lagi produk 1Malaysia dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia, program Astro NJOI e-Kasih merupakan sebuah program yang berjaya melaksanakan matlamat tersebut.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, badan-badan korporat di Malaysia seharusnya mencontohi usaha yang dilakukan pihak Astro dalam membantu lebih ramai golongan rakyat yang memerlukan akses maklumat khususnya dari segi pendidikan. “Pihak-pihak syarikat yang lain patut mencontohi Astro. Dengan adanya program ini ia akan dapat memberi peluang khususnya mereka yang di bawah penerima bantuan e-Kasih untuk mendapat sesuatu yang percuma.

“Bukan sahaja dekoder dan yuran percuma, tetapi mendapat 40 lebih program yang merangkumi semua aspek sama ada yang berbentuk berita, yang berbentuk hiburan, yang berbentuk sukan, tetapi yang lebih penting ialah yang bentuk pembelajaran,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dekoder NJOI e-Kasih di Samariang, di sini hari ini.

Ujarnya lagi dalam usaha menuju ke arah negara maju, sumbangan daripada pihak swasta amat penting selain membantu pihak kerajaan dalam usaha membangunkan negara.

Sementara itu, Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, program seumpama ini akan diteruskan lagi oleh pihak Astro bagi memberi pendekatan yang lebih lagi kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan Astro.

“Insya Allah, tujuan Astro adalah hendak mendekati masyarakat dengan secara mengadakan perhimpunan dan perjumpaandengan rakyat dan masyarakat. Seperti hari ini, Astro boleh mendekatkan lagi dengan orang ramai,” katanya.

Tun Zaki juga berharap agar kesemua penerima NJOI e-Kasih hari ini mendapat maklumat yang tepat dan benar serta dapat menambah baik mutu pelajaran bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

(Astro Awani)

[4777695]

Facebook Comments