Taruhan baru Mercedes-Benz



Gaya dan kepuasan dinikmati media permotoran yang menyertai program pandu uji Dream Car Media Drive 2017 anjuran Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru-baru ini.

Lebih 6 buah kenderaan disediakan terdiri daripada model C-Class Cabriolet, SLC, AMG C 63 S Coupe, C-Class Coupe, AMG GT S dan AMG S 63 Coupe dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands dan Ipoh yang bermula di Kuala Lumpur.

Melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjadi medan pertama menguji keupayaan sebenar jentera ini dari segi prestasi dan pengendalian yang terbaik untuk kuasa serta pecutan.

Penulis memulakan pemanduan bersama rakan sejawat daripada Berita Harian dengan model C 300 Cabriolet bukan sekadar mewah atau bergaya malah memberikan pemanduan berprestasi yang dijana enjin 1,991cc.

Kelebihannya, bumbung yang boleh dibuka sangat sesuai ketika perjalanan naik dari Tapah melalui cuaca dingin selain menikmati pemandangan indah sepanjang laluan.

Tiga varian disediakan dalam pasaran iaitu C 200, 250 dan 300 dengan 184 kuasa kuda (hp), 211hp dan 245hp untuk keperluan serta corak pemanduan berbeza pada tanda harga daripada RM358,888 hingga RM443,888.

Untuk SLC pula menawarkan sebuah roadster yang ringkas dan lincah, namun mengekalkan gaya premium termasuk bumbung-vario yang boleh dibuka atau disimpan tetap memberikan ruang pada bonet untuk muatan sehingga 335 liter.

Pelbagai barangan peribadi dan beg boleh diisi dengan kapasiti dua tempat duduk tetap selesa di dalam bandar atau memandu pada jarak jauh.

Dua varian dengan berbeza kuasa ditawarkan iaitu SLC 200 dengan 184hp dan SLC 300 (245hp) dilengkapi dengan enjin 2.0 liter pada harga RM398,888 dan RM468,888.

Paling menarik ialah varian AMG C 63 S Coupe dengan DNA perlumbaan yang menawarkan kawalan dan prestasi jentera lumba di atas jalan raya.

Rekaan luaran berciri maskulin dengan ruang dalaman elegan serta enjin AMG 4.0 liter V8 memberikan pakej terbaik termasuk ciri lain untuk gaya dan kepuasan pemiliknya.

Mampu menjana kuasa sehingga 510hp dan daya kilas 700Nm ternyata bunyi enjin yang ganas terhasil setiap kali penurunan gear secara automatik menjadikan anda umpama seorang pemandu profesional.

Penulis memandu ujinya di lebuh raya serta laluan berselekoh dari Brinchang ke Tanah Rata yang memberikan kuasa pecutan serta pengendalian mantap tanpa sebarang kehilangan kuasa terutama ketika memintas kenderaan.

Pada harga RM795,888 (Edition 1) dan RM773,888 dengan kelajuan maksimum 290km/j, ia sebuah model buat mereka yang gemarkan pemanduan prestasi serta sesuai untuk kegunaan harian.

Ketika perjalanan dari Cameron Highlands ke Ipoh menuruni laluan Simpang Pulai, penulis berpeluang memandu model C 200 Coupe menampilkan gaya ranggi dengan rekaan bahagian hadapan termasuk gril radiator unik.

Bentuk keseluruhan ciri erodinamik dan sentuhan AMG pada rim aloi 18 inci serta bampar menyerlahkan ciri prestasi bagi sebuah coupe.

Bahagian dalaman sesuai untuk empat penumpang dengan kemasan kulit buatan tangan Artico dan pedal sport AMG tampil elegan ditawarkan pada harga RM308,888, C 250 Coupe (RM333,888) dan C 300 Coupe (RM388,888).

Bagi pilihan lebih elegan dan mewah, model Mercedes-AMG S 63 Coupe dengan enjin bersesaran 5,461cc mampu menjana 585hp dan 900Nm ditawarkan.

Ketika berada di dalamnya penulis dapat rasakan ciri eksklusif dipadankan dengan warna putih terutama kerusi balutan kulit yang empuk dan selesa dengan ciri urutan badan serta pemanas.

Dicalonkan sebagai Kereta Mewah Tahunan, ia dilengkapi fungsi sistem suspensi Magic Body Control untuk keselesaan, keselamatan dan kepuasan memandu dengan kelajuan maksimum 250km/j pada harga RM1,493,888 adalah yang termahal dalam sesi pandu uji ini.

Namun model paling menjadi tumpuan pada sesi itu ialah Mercedes-AMG GT S yang dijana dengan enjin 4.0 liter V8 bi-turbo mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 3.8 saat.

Kereta berprestasi dengan inspirasi sport klasik ini mempunyai kelajuan maksimum 310km/j pada kuasa 510hp dan dengan daya kilas 650Nm ia ditawarkan pada harga RM1,125,888.

Secara keseluruhan pemanduan kereta idaman daripada Mercedes-Benz ini menampilkan model yang bukan sahaja premium malah memberikan anda kepuasan memandu yang optimum.

Terutama model yang membabitkan talaan daripada AMG bukan

sahaja hebat di lebuh raya juga tiada masalah ketika melalui laluan berbukit dengan selekoh tajam dari Tapah ke Cameron Highlands serta dari tanah tinggi itu ke Ipoh melalui Simpang Pulai.

Tidak sekadar prestasi, ia juga menyediakan ruang dalaman selesa dan mewah serta sesuai untuk kegunaan harian atau perjalanan jauh dengan ruang bonet yang luas untuk beg dan barangan lain.

(myMetro)

[4775704]

Facebook Comments