Jika berkunjung ke Hokkaido, anda wajib lawati 10 tempat ini


Astro Gempak diberikan peluang keemasan oleh JTB Hokkaido Corp untuk melawat destinasi pelancongan menarik ini selama empat hari.

PENGALAMAN meneroka pulau kedua terbesar negara matahari terbit ini sememangnya satu peluang yang dinantikan.

Peluang menjelajah Hokkaido, terutamanya di bahagian timur negeri tersebut pada awal Mac lalu merupakan pengalaman yang sememangnya tak dapat dilupakan.

Memandangkan musim sejuk agak panjang di Hokkaido berbanding bandar lain di Jepun, salji gebu yang memutih masih lagi menyeliputi seluruh pulau dan cuaca pula sekitar 0 darjah selsius.

Astro Gempak diberikan peluang keemasan oleh JTB Hokkaido Corp untuk melawat destinasi pelancongan menarik ini selama empat hari.

Menerusi artikel ini, Astro Gempak kongsikan 10 tempat wajib anda lawati di sekitar timur Hokkaido:

1. New Chitose Airport

Bukan sebarang lapangan terbang! Pernahkah anda melihat kompleks lapangan terbang yang mempunyai banyak tarikan dalam satu tempat? Lapangan terbang unik ini menempatkan panggung wayang, Onsen (kolam air panas Jepun), taman tema Hello Kitty, Doraemon serta kilang pembuatan coklat terkemuka buatan Hokkaido, Royce dan banyak lagi tarikan.

Anda disarankan untuk terus menghabiskan masa di lapangan terbang ini sebaik sahaja anda touch down di Hokkaido. Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan dan pastinya anda akan mencipta kenangan manis di sini.

2. Garden Spa Tokachigawa Onsen

Baru sahaja dibuka pada Disember tahun lalu, tempat menarik yang terletak di Tokachigawa Onsen ini sesuai dilawati untuk anda seisi keluarga. Menawarkan pengalaman spa untuk seluruh ahli keluarga, Garden Spa ini turut menawarkan kelas masakan.

Astro Gempak merasakan sendiri pengalaman membuat sakura mochi, sejenis kuih tradisi Jepun yang diperbuat daripada pulut yang berintikan kacang merah dan dibalut dengan daun cherry blossom. Dalami budaya masyarakat Jepun dengan merasakan sendiri pengalaman berharga ini!

3. Sairinka Winter Festival

Festival yang terletak di Tokachigawa Onsen ini ini berlangsung sepanjang musim sejuk. Astro Gempak bertuah kerana ketika lawatan dilakukan pada awal Mac lalu, festival yang dijadualkan tamat pada penghujung Februari ini masih berlangsung.

Memaparkan keindahan lanskap Tokachigawa Onsen di waktu malam semasa musim sejuk berlangsung, festival ini menarik kerana ia menampilkan objek bercahaya pelbagai saiz dan warna. Objek tersebut akan berubah warna mengikut alunan muzik!

4. Akan International Crane Center

Terletak di Kushiro, destinasi ini merupakan pusat perlindungan bagi burung jenjang Jepun yang dikenali sebagai crane dalam Bahasa Inggeris atau tancho dalam bahasa Jepun. Spesies burung yang jarang ditemui ini merupakan spesies terancam.

Bukan sahaja menjadi pusat perlindungan, destinasi ini juga menjadi tempat kajian untuk mengenai spesies burung istimewa ini. Destinasi ini juga menempatkan muzium mini untuk anda mengetahui serba sedikit sejarah burung jenjang Jepun. Rasai sendiri pengalaman melihat burung jenjang Jepun ini dari jarak dekat di Akan International Crane Center sepanjang bulan November sehingga Mac.

5. Lake Mashu

Rasai sendiri pengalaman menakjubkan di tasik ini. Tasik ini diberi nama Mashu sempena warna airnya ini menawarkan pelancong pemandangan yang tidak boleh dilupakan. Sewaktu kunjungan Astro Gempak ke sana, tasik ini diliputi salju yang menggebu dan segalanya berwarna putih.

Tarikan sudah pastinya kelihatan pada kontras warna tasik ini. Rona air tasik nan membiru bergandingan dengan warna pokok dan permukaan tanah nan memutih diseliputi menarik mata pelancong. Jangan lupa untuk mengabadikan gambar di tasik ini sebagai kenang-kenangan di laman Instagram!

6. Lake Akan

Berbeza dengan Lake Mashu, Lake Akan yang terletak di Kushiro ini menawarkan pengalaman berbeza. Anda boleh merasakan sendiri pengalaman berjalan atas tasik yang membeku! Ketika berlangsungnya musim sejuk, pengunjung boleh menikmati suasana berjalan atas ‘air’ yang menjanjikan pandangan dan panorama yang menakjubkan.

Ketika berlangsungnya musim sejuk, pengunjung boleh merasakan sendiri pengalaman berjalan di atas tasik dan mencari frost flower. Di sesetengah permukaan tasik yang membeku, akan ada beberapa tempat yang kelihatan seperti pulau kecil kerana di tempat tersebut merupakan sumber kolam air panas.

7. Akanko Ainu Kotan

Akanku Ainu Kotan yang terletak berhampiran dengan Lake Akan merupakan perkampungan terbesar masyarakat Ainu (orang asli Jepun) di Hokkaido. Pengunjung dapat menyelami sendiri budaya dan gaya hidup orang asli Jepun di sini.

Jika berkesempatan ke sana, jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan teater Ikoro yang menampilkan budaya dan cara kehidupan rakyat Ainu di Akanku Ainu Kotan. Teater menarik ini akan memberikan pengunjung sedikit sebanyak pendedahan mengenai kehidupan mereka.

8. Lake Akan Hot Spring Ski Galande – UTARA

Terletak tiga kilometer dari Lake Akan, Lake Akan Hot Spring Ski Galande atau dipanggil UTARA dalam bahasa tempatan merupakan destinasi wajib dikunjungi oleh semua pelancong yang menjengah ke Kushiro, timur Hokkaido.

UTARA menawarkan pengalaman menarik, terutamanya kepada mereka yang memang sudah lama menyimpan impian untuk bermain salji. Rasai pengalaman manis meluncur ski, bermain salji yang menggebu dan menikmati pemandangan menakjubkan di UTARA.

9. Sounkyo Hyobaku Ice Waterfall Festival

Nikmati festival ais yang penuh berwarna warni di Sounkyo Hyobaku Ice Waterfall Festival. Terletak di daerah Kamikawa, festival ini menawarkan pengalaman sekali seumur hidup untuk pengunjung yang datang ke sana.

Saksikan keindahan ukiran ais yang kelihatan seperti istana yang dihiasi lampu yang berwarna warni. Sebelum pulang, jangan lupa untuk menikmati percikan bunga api yang disajikan setiap malam sebagai kemuncak Sounkyo Hyobaku Ice Waterfall Festival.

10. Asahiyama Zoo

Zoo yang terletak di daerah Asahikawa, timur Hokkaido ini telah dibuka pada tahun 1967. Zoo ini sememangnya menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara kerana haiwan dan habitat yang dipamerkan.

Bersempena dengan musim sejuk, Astro Gempak bertuah kerana dapat menyaksikan acara perbarisan sekawan penguin yang berlangsung sewaktu awal pembukaan zoo ini. Acara perbarisan itu hanya akan berlangsung ketika musim sejuk, sekitar November sehingga Mac.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: VisitEasternHokkaido, Mygola.com, HokkaidoDrivingCoupons, LakeAkan.com, DailyMail

(Astro Awani)

[4772545]

Facebook Comments