Pendidikan sebati dengan jiwa Sharifah Hapsah




PROF Emerita Tan Sri Dr Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin. – Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Anugerah tokoh pendidikan selayaknya disandang Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin, 69, sejajar dengan komitmen dan sumbangannya yang terlalu banyak dalam bidang pendidikan negara sejak 1970-an lagi.

Bagi dirinya, untuk melahirkan insan berkualiti, sistem pendidikan itu sendiri, perlu dibangunkan menerusi modul pendidikan dan kurikulum yang sempurna juga.

“Kurikulum itu adalah asas. Sewaktu saya menjadi doktor dulu, saya terfikir, kerjaya doktor tidak seharusnya hanya merawat pesakit. Mereka juga perlu berupaya menjadi lebih daripada itu.

“Justeru saya bertekad memperkenalkan kurikulum perubatan berasaskan penyelesaian masalah sewaktu saya menjawat Ketua Unit dan Pengasas Jabatan Pendidikan Perubatan UKM pada 1982 lalu,” katanya kepada BH.

Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ini memiliki pengalaman dan ilmu yang banyak dalam bidang pendidikan. Malah menjawat pelbagai jawatan berkaitan dunia berkaitan.

Pernah menduduki kerusi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan bertanggungjawab menggubal Akta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang mengambil alih peranan LAN, Dr Sharifah Habsah juga terbabit membangunkan sistem jaminan kualiti Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan membantu penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi, pada 2004.

Pembabitan beliau dalam dunia pendidikan bermula apabila anak sulungnya kerap jatuh sakit dan memerlukan perhatian. Waktu itu beliau baharu saja menjadi doktor.

“Saya buat keputusan meninggalkan bidang klinikal lantas menceburi bidang fisiologi sebagai pensyarah di UKM.

“Di sinilah timbul minat terhadap pendidikan perubatan dan saya menerokai pendekatan efektif melahirkan doktor berwibawa,” katanya.

Beliau pernah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kebangsaan, termasuk Fred Kartz Medal Memorial dan Anugerah Kecemerlangan COL-ICDE, antara pengiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan.

Tumpu pendidikan kanak-kanak

Selepas bersara sebagai naib canselor UKM pada 2013, beliau kini menumpukan perhatian terhadap pembangunan pendidikan kanak-kanak menerusi Program PERMATA Negara (PERMATA).

Selaku Ahli Majlis Pelaksanaan Program PERMATA, ia dilaksanakan dengan menyasarkan pendidikan berkualiti dalam kalangan kanak-kanak.

Kurikulum ini dibangunkan berasaskan bukti dan diterima pakai sebagai kurikulum kebangsaan. Prestasi anak PERMATA dijejak oleh Pusat Penyelidikan Pembangunan Kanak-kanak Kebangsaan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Pendidikan berkualiti

“Kajian menunjukkan, kanak-kanak yang mengikuti program PERMATA mencapai prestasi lebih baik berbanding mereka tidak memasuki TASKA PERMATA Negara.

“Perhatian bukan saja pada perkembangan kognitif dan fizikal tetapi juga aspek sosial, nilai dan etika. Paling penting, PERMATA membuka peluang pendidikan awal berkualiti untuk kanak-kanak di luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah di bandar,” katanya yang menjelaskan dalam perkembangan terkini, Hospital Kanak-kanak PERMATA di UKM Cheras, yang dapat disifatkan sebagai ‘hospital canggih dilengkapi teknologi moden dengan menumpukan program khusus untuk kanak-kanak’.

PERMATA diilhamkan, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

DR Sharifah Hapsah memiliki pengalaman dan ilmu yang banyak dalam bidang pendidikan. – Foto Aswadi Alias

Cabaran berbeza

Mengulas mengenai cabaran, Dr Sharifah Habsah, sewaktu menjadi naib canselor, cabarannya adalah menggembleng tenaga dan sumber manusia.

Justeru, beliau akan memastikan kekuatan individu atau jabatan untuk ditonjolkan ke arah kecemerlangan universiti menerusi strategi dan rangka kerja bersistematik.

Berbangga apabila berjumpa doktor kelahiran UKM, Dr Sharifah Hapsah berkata, beliau terharu apabila ada graduan UKM menegurnya.

“Itulah kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata,” katanya.

Pesan arwah ayah jadi azimat

Pesan arwah ayah dan ibu, Datuk Syed Hasan Syed Zain Shahabudin dan Datin Sharifah Zaharah Syed Ahmad Aljafri untuk melakukan yang terbaik dalam setiap bidang diceburi, jadi azimat buat dirinya untuk berjaya.

Beliau memiliki amalan bekerja mengikut perancangan dan melakukannya dengan sempurna.

“Memastikan otak saya sentiasa bekerja, hampir setiap hari saya main teka silang untuk memastikan otak saya sentiasa bekerja,” katanya.

Turut aktif dalam aktiviti memartabatkan agenda kewanitaan dan badan bukan kerajaan (NGO), beliau turut terbabit sebagai Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), badan penasihat utama kepada kerajaan berkaitan isu wanita dan gender, Ahli Majlis Penasihat Wanita Negara, Presiden Pengasas Malaysian Association for Education in the Medical and Health Sciences (MAEMHS) dan Timbalan Presiden pengasas, Majlis AIDS Negara.

DR Sharifah Hapsah pernah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kebangsaan, termasuk Fred Kartz Medal Memorial dan Anugerah Kecemerlangan COL-ICDE, antara pengiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan. – Foto Aswadi Alias

INFO:

Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin

Tarikh lahir: 1948

Asal: Kedah

Lulusan:

* Ijazah perubatan MBBS daripada Universiti Malaya (1973)

* Sarjana Kesihatan (Personnel Education) daripada Universiti New South Wales Australia (1982)

* Doktor Falsafah Perubatan (1997).

Pencapaian:

* Ketua Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, UKM (1976 – 1979)

* Terbabit dalam menggubal Panduan Kualiti Pendidikan Tinggi bersama UNESCO dan OECD dan dalam rundingan WTO mengenai perkhidmatan selaku Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (2000-2004) dan Pengarah Bahagian Jaminan Kualiti KPT (2004-2006).

* Dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Suruhanjaya Integriti Penguatkuasa Undang-undang

* Menganggotai beberapa jawatankuasa kebangsaan termasuk MAPEN II, Panel Bebas Mengkaji Pelan Pendidikan

* Menerima Ijazah Kehormat dari 5 buah universiti luar negara

* Ahli Lembaga Pelawat Depot Tahanan

* Perunding ‘Distance Education Project McCord’ Hospital, Durban

* Penasihat ‘Medical Education Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

* Ahli Akademi Perubatan Malaysia

* Ahli Akademi Sains Malaysia

* Ahli Persatuan Perubatan Malaysia .

* Presiden NCWO.

* ‘Fretz Katz Memorial Medal for Excellence in Medical Education’ (1993).

* ‘ICDE-COL Special Award of Excellence for Distance Education’ (1995).

(BHONLINE)

[4772118]

Facebook Comments