Bengkel kereta pilihan anggota tentera


Oleh ADHAM SHADAN

Menjadi mekanik bagi jentera tentera selama 22 tahun sehingga bersara pada 2007, bekas anggota tentera, Mohd. Zailani Shukor, 50, tidak betah meninggalkan kemahirannya itu. Tidak hairanlah sejurus bersara, dia terus membuka sebuah bengkel membaiki kereta.

Kini, pusat servis dan membaiki kereta yang diusahakannya di Jalan Setiawangsa, Kuala Lumpur, MZX Auto Services menjadi tumpuan para tentera kerana ia salah satu bengkel di Malaysia yang menawarkan kemudahan kredit fleksi untuk anggota tentera.

Di bawah skim Kasuma yang dikendalikan oleh Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama), kos membaiki kenderaan anggota tentera didahulukan oleh Pernama sebelum bayaran balik dibuat menerusi potongan gaji bulanan anggota tentera berkenaan.

Pernama ialah sebuah perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang memberi khidmat kepada warga tentera melalui rangkaian runcit dengan penyediaan produk jualan pada kadar harga berpatutan.

Berstatus Kedai Bersekutu Pernama, namun Mohd. Zailani memberitahu, bengkel tersebut juga memberi khidmat kepada orang awam.

“Bengkel saya jadi tumpuan anggota-anggota tentera terutamanya dari Kuala Lumpur dan Selangor. Skim Kasuma membolehkan mereka mendapatkan khidmat membaiki kereta tanpa membuat bayaran serta-merta.

“Asal sahaja mereka anggota tentera yang masih berkhidmat, mereka layak mendapat kemudahan skim Kasuma ini. ,” katanya ketika ditemui Kosmo! di bengkelnya baru-baru ini.

Mohd. Zailani memberitahu, sejak menganggotai tentera darat pada tahun 1983, dia hanya bertugas di unit Jurutera Elektrik dan Jentera yang bertanggungjawab sebagai mekanik jentera-jentera tentera.

Pangkat terakhirnya ialah Koperal dan berkhidmat di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Berpengalaman sebagai mekanik tentera menjadikan Mohd. Zailani seorang yang bersungguh-sungguh dan teliti dalam melakukan kerja-kerja.

“Dahulu, saya menjadi mekanik jentera tentera. Saya bertanggungjawab memastikan kenderaan-kenderaan itu benar-benar selamat dan berfungsi dengan baik untuk digunakan oleh anggota-anggota tentera demi keselamatan negara.

“Jadi, menjadi kelaziman saya untuk membuat kerja dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Mohd. Zailani berkata, pada masa ini dia dibantu dua orang pekerja.

“Bengkel saya ini menawarkan pelbagai perkhidmatan mencakupi masalah-masalah kereta seperti servis, membaiki, tunda kenderaan dan membuat cukai jalan.

“Bagi khidmat membaiki pendingin hawa kereta, saya mendapatkan khidmat kedai sebelah yang juga diusahakan oleh bekas tentera,” katanya.

Seorang pelanggannya yang merupakan anggota tentera, Koperal Abdul Halim Md. Yusof berkata, menjadi kelazimannya menghantar kenderaan ke MZX Auto Services untuk diservis atau jika berlaku kerosakan.

“Sebelum ini saya berkhidmat di Sabah. Sejak pulang ke Kuala Lumpur tiga tahun lalu, saya hanya merujuk atau menghantar kenderaan saya di sini jika ada sebarang masalah.

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatannya,” katanya.

(Kosmo)

[4771239]

Facebook Comments