Korea Utara: Satu ujian keimanan




TANPA diduga pergeseran diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara ekoran pembunuhan Kim Jong-nam kini merebak ke tahap konflik.

Apabila kerajaan kita mengusir pulang Duta Korea Utara, Kang Chol, mereka bertindak balas dengan menahan 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan ibu negara itu, Pyongyang.

Ini mendorong pula tindakan balas yang serupa ke atas kakitangan Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Krisis ini turut membimbangkan sebilangan rakyat Malaysia kerana Korea Utara yang mempunyai kekuatan senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh juga mempunyai sifat panas baran.

Tentera negara komunis ini juga dikerah supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi peperangan.

Presidennya, Kim Jong-un pula didakwa mempunyai sifat kejam ke atas musuh-musuh politiknya termasuk terhadap anggota keluarganya.

Malah, pembunuhan abangnya, Jong-nam di Malaysia disyaki ada kaitan dengan Jong-un apabila negara itu beria-ia mendesak untuk campur tangan dalam penyiasatan oleh polis Malaysia.

Mudah bicara, Malaysia sebenarnya sedang berhadapan dengan sebuah negara berbahaya yang juga mudah melatah.

Sejak kemerdekaan, Malaysia hanya pernah sekali melalui konflik hubungan dengan negara lain iaitu konfrontasi Indonesia pada 1963 hingga 1966.

Walaupun menumpahkan darah, konflik yang dicetuskan oleh Presiden Sukarno kerana menentang penubuhan Malaysia itu hanya melibatkan pertempuran kecil, tidak perang terbuka.

Sebaliknya ada kekhuatiran bahawa konflik dengan Korea Utara ini boleh mencetuskan keadaan yang lebih buruk jika tidak ditangani dengan bijak.

Namun, Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bermaruah juga perlu bertegas dalam menegakkan kebenaran.

Jika tidak sejarah akan mencatat Malaysia sebagai sebuah negara bacul.

Ternyata rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum berdiri teguh di belakang kerajaan dalam menghadapi konflik ini.

Pada hari pertama perbahasan sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang, ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang secara spontan telah menyuarakan sokongan penuh mereka kepada kerajaan supaya mengambil apa jua langkah yang perlu.

Berserah kepada Allah

Apapun sebagai negara yang majoriti rakyat, ketua negara dan ketua kerajaan beragama Islam, paling pokok kita hendaklah berserah kepada Allah bagi menentukan yang terbaik.

Sebenarnya pemimpin-pemimpin dan umat Islam Malaysia sedang diuji sejauh mana mantapnya iman mereka.

Orang beriman berserah diri kepada Allah dan hanya takut kepada-Nya, bukan takut kepada makhluk-Nya.

Dia yang mengizinkan apa yang telah berlaku dan menentukan apa yang seterusnya akan berlaku.

Jika sebuah negara, tempat atau bangsa mendapat perlindungan Allah, tiada siapa yang boleh mencetuskan bencana dan kerosakan.

Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran, Nabi Musa dan Bani Israel diselamatkan daripada Firaun dan bala tenteranya yang tenggelam dalam lautan.

Begitu juga Nabi Ibrahim yang tetap hidup walaupun dibakar lama atas perintah Raja Namrud.

Betapa tentera pimpinan Talut yang kecil bilangannya berjaya mengalahkan tentera Jalud yang berkali ganda jumlahnya.

Tentera Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW juga banyak kali menewaskan tentera musuh yang jauh lebih besar bilangannya.

Allah berfirman bahawa mereka mendapat pertolongan dan kemenangan kerana mereka adalah orang yang benar-benar beriman.

Maka menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia menzahirkan keimanan dengan memohon pertolongan Allah dalam menghadapi krisis dengan Korea Utara.

Apatah lagi para pemimpin yang beragama Islam termasuk ketua negara, ketua kerajaan dan jemaah menteri.

Berdoalah dengan penuh harapan dan rasa takut kalau-kalau Allah tidak memberi pertolongan. Mudah-mudahan Yang Maha Berkuasa akan memberikan sebaik-baik pertolongan dan jalan keluar daripada kemelut ini.

Selain berdoa, lakukan solat sunat dan bacalah surah al-Fil yang menceritakan bagaimana Allah memusnahkan tentera bergajah dari Yemen yang datang hendak meroboh Kaabah di Mekah.

Maksud surah al-Fil:

“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

“Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?

“Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan.

“Yang melontar mereka dengan batu-batu daripada sejenis tanah yang dibakar keras.

“Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”

Mudah-mudahan kita mendapat pertolongan dan kemelut ini berakhir dengan aman kerana keamanan itu paling tidak ternilai harganya.

(Kosmo)

[4771250]

Facebook Comments