Sungguh tertekan jalani hidup sebagai pelajar hari ini


Ada pelajar yang mungkin mengambil jalan keluar dengan ‘menghilangkan diri’ kerana tekanan emosi akibat bebanan belajar termasuk pelbagai peperiksaan. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: “Ada student jatuh dari bangunan,” anak penulis yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) swasta menghantar mesej Whatsapp.

Bangunan itu terletak tidak jauh dari universitinya dan yang menyedihkan, itu bukan kejadian yang pertama.

Pastinya perkara pertama yang menerjah minda penulis, meskipun berat untuk berprasangka demikian ialah “ini bukan jatuh biasa”.

Perasaan penulis bercampur baur, antara sedih dan kasihan kepada pelajar yang malang itu.

“Apalah yang begitu menekan pelajar itu, dalam usia yang masih muda, begitu nekad tak mahu hidup lagi?”

Banyak faktor yang penulis boleh senaraikan mengikut andaian dan pembacaan mengapa pelajar itu bertindak begitu.

Sementelah penulis teringat perbualan dengan rakan setugas tentang kematian seorang pelajar IPT dan anak tunggal.

Pelajar itu tidak gembira dengan bidang pengajian yang sedang diikutinya. Bidang itu bukan pilihannya tetapi ibu bapanya!

Kemurungan melampau mungkin mendorong pelajar-pelajar ini untuk menamatkan riwayat hidup mereka pada usia yang begitu muda.

Kemurungan juga dilaporkan mendorong seorang penuntut kolej di utara tanah air menggantung dirinya. Menurut berita akhbar bertarikh 21 Februari lepas, pelajar berusia 21 tahun itu dijumpai dalam keadaan tergantung oleh rakan sebiliknya.

Didorong rasa kecewa Stres belajar turut membelenggu pelajar sekolah. Pada tahun 2015, seorang pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertindak menggantung diri dipercayai kecewa menjawab kertas Matematik Tambahan.

Stres atau tekanan di kalangan pelajar termasuk pelajar IPT adalah realiti yang perlu ditangani segera kerana ia melibatkan gangguan mental serta fisikal.

Bagaimanapun, tidak cukup untuk menggalaskan tugas kepada kaunselor untuk mengendalikan stres pelajar, lagi pun berapa ramai pelajar yang bersedia meluahkan perasaan mereka kepada kaunselor?

Cari dan kenal pasti punca stres mereka. Tidak perlu hendak lantik perunding untuk tugas ini. Ibu dan ayah sewajarnya orang yang paling dekat dengan anak mereka.

Perhatikan sahaja kehidupan anak-anak hari ini seawal usia empat tahun, mungkin ada yang awal lagi, sudah dihantar ke tadika, taska atau taman asuhan. Sebahagian besar kerana ibu ayah bekerja dan tiada siapa yang boleh menjaga mereka.

Ketika di peringkat ini lagi, ibu dan ayah sudah mengharapkan anak boleh belajar membaca dan mengira!

Bila masuk ke alam persekolahan, di peringkat sekolah rendah dan menengah nanti, sudah ada peperiksaan yang menanti yang akan menilai prestasi.

Harapan dan jangkaan ibu bapa menggunung tinggi. Deretan ‘A’ menjadi impian mereka, mungkin mengatasi impian si anak.

Ternyata tumpuan lebih kepada pencapaian akademik!

Streslah hidup anak apabila minda asyik diasak dan dipasak dengan sebutan “mesti dapat A, mesti dapat A”.

Apatah lagi jika ayah dan ibu pemegang ijazah, jawatan profesional dan graduan luar negara. Si anak bukan sahaja diharap tetapi mesti mengikut jejak langkah mereka, mesti masuk universiti ‘alma mater’ ibu atau ayah untuk meneruskan tradisi kecemerlangan ibu dan ayah!

Sistem persekolahan

Perhatikan pula sistem persekolahan dengan sesi pagi dan sesi petang ditambah dengan kelas agama dan tuisyen sudah tentu meletihkan pelajar.

Tidak hairan untuk melihat ada anak yang masih berjalan pulang ke rumah dari sesi persekolahan sedangkan hari mulai gelap.

Namun apakah ibu bapa ambil berat tentang perkara ini?

Lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan. Pelbagai kelas tambahan termasuk tuisyen dan bengkel menjawab soalan diatur untuk anak. Bagaimana pula emosi dan kesihatan anak? Apakah ibu atau ayah kisah?

Itu baru peringkat sekolah.

Bila anak melangkah ke institusi pengajian tinggi, ada ibu ayah yang akan menggunakan kuasa veto untuk menentukan bidang apa yang anak mereka harus ambil.

Ada anak yang mengikut telunjuk ibu dan ayah dan akhirnya mereka kecundang sebelum sampai ke garisan penamat pengajian. Gagal peperiksaan dan terus gagal.

Ada juga yang mungkin akan nekad mengambil jalan mudah mengakhiri hayat mereka kerana tidak tahan lagi menanggung tekanan belajar bidang yang langsung mereka tidak suka.

Senario yang menyedihkan ini perlu diberi perhatian berat supaya pelajar yang begitu tertekan jiwanya tidak terperangkap dalam kemurungan melampau dan dapat dibantu agar tidak menambah kepada statistik kematian mengejut “bunuh diri”.

Mungkin ada pelajar yang mengalami ‘kejutan budaya’ apabila melangkah ke IPT. Bukan sahaja sukar menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling tetapi juga cara pembelajaran dengan bebanan tugasan yang memerlukan mereka banyak berdikari.

Lebih-lebih lagi jika pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara. Kejutan budaya semestinya tidak terkata.

Tambahan apabila mereka adalah pelajar yang memperolehi banyak A sebelum ini dan perlu mengekalkan prestasi cemerlang di IPT sedangkan pada hakikatnya mereka sukar berbuat demikian.

Harapan orang tua dan jangkaan masyarakat mendorong pelajar kepada kemurungan, lebih-lebih lagi apabila mereka tidak dapat meluahkan perasaan atau berkongsi kerungsingan.

Ada pelajar yang mungkin mengambil jalan keluar dengan ‘menghilangkan diri’ kerana tekanan emosi akibat bebanan belajar termasuk pelbagai peperiksaan.

Ada juga yang mungkin terpedaya mengambil bahan haram seperti dadah sintetik untuk menghilangkan kerungsingan atau terjebak dengan kegiatan jenayah yang akan mengheret mereka kepada kehidupan di belakang ‘tirai besi’.

Paling menyedihkan bagi pelajar yang melihat ‘bunuh diri’ sebagai jalan mudah melenyapkan segala tekanan, justeru ibu dan ayah, pandanglah wajah anak dan luangkan masa untuk berbicara dengan mereka!

Selami hati dan jiwa raga anak. Jangan sekadar menaruh harapan atau menabur kemewahan dan perasaan mereka semakin jauh dipinggirkan.

* Penulis artikel ini ialah Melati Mohd Ariff.

** Artikel ini adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

(Astro Awani)

[4768733]

Facebook Comments