Agenda LGBT meresapi pelbagai media

Baru-baru ini, akhbar The Huffington Post melaporkan, saluran kartun The Disney Channel menyiarkan aksi bercium sesama jantina dalam rancangan Star vs The Forces of Evil. Gergasi filem Walt Disney pula menerbitkan filem Beauty and The Beast yang memasukkan unsur homoseksualiti.

Ini disahkan pengarahnya, Bill Condon, yang memberitahu majalah homoseksual Britain, Attitude bahawa filem itu yang terkenal dalam kalangan kanak-kanak, akan buat kali pertama memaparkan watak lelaki homoseksual. Ini nyata usaha besar-besaran pendokong LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender) memaksa agenda biasa gaya hidup ini kepada anak muda dan mentah dengan gaya hidup yang jauh daripada nilai agama Islam.

Agenda membawa gaya hidup LGBT ini mula dibawa ke arus perdana apabila majalah National Geographic edisi 2017 mempromosinya sebagai trend terkini dan menyatakan lebih 70 pilihan gender boleh ‘dipilih’ masyarakat global. Pengguna Facebook mempunyai 58 pilihan ‘gender’ sejak 2014.

Kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia harus memastikan pengharaman sebarang paparan gaya hidup homoseksual dari kaca TV, media elektronik dan di layar perak. Bahkan, pemantauan harus dilakukan ke atas media berbahasa Inggeris, yang terang-terang mempromosinya meskipun jelas bertentangan dengan Islam sebagai agama Persekutuan, dan bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

Pantau buku

Sebagai contoh, Yasmin Disney dalam ruangan pendapat di Malay Mail Online pada 17 Julai 2014, mengatakan: Yes, I do have a homosexual agenda. Begitu juga Kementerian Dalam Negeri harus memantau buku berunsur gaya hidup terlarang yang dikesan memasuki pasaran. Kerajaan juga perlu bertindak tegas kepada badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan homoseksualiti dan berobjektif mempromosi gaya hidup LGBT.

Kita sudah tiba ke satu peringkat rancangan kegemaran anak kita, dirampas demi membawa agenda LGBT ini jauh ke dalam hati nurani mereka. Mematuhi agama pula dianggap mendiskriminasi, sedangkan ia hak asasi baginya. Ini dibuktikan dalam kes seorang pengusaha kedai kek Kristian yang mematuhi perintah agamanya, menolak tempahan kek perkahwinan sejenis di Colorado, Amerika Syarikat, berdepan hukuman penjara.

LGBT dari sudut kesihatan

Pejuang hak asasi manusia sengaja mendiamkan diri atau menutup mata apabila masalah LGBT diperbincangkan di sudut kesihatan. Mereka tidak dapat menafikan bahawa LGBT berkait dengan HIV dan AIDS dan pelbagai masalah sosial lain.

Laporan tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2016 bertajuk ‘Global AIDS response progress report Malaysia 2016 in ending AIDS by 2030’ menyatakan empat golongan direkodkan dalam laporan sebagai golongan paling terkesan dengan epidemik AIDS dan HIV ialah penagih dadah, pelacur wanita, lelaki homoseksual dan transgender (mak nyah).

Laporan sama mendedahkan kajian sikap atau ‘Bio Behavioural Study’ menyatakan peningkatan penggunaan arak dan dadah dalam aktiviti seksual kalangan pengamal homoseksual dan transgender menyebabkan mereka gagal guna kondom, menyebabkan kadar jangkitan HIV dan AIDS kekal tinggi.

Pada 2012, kajian John Hopkins School of Public Health merumuskan, penetrasi melalui dubur adalah 18 kali lebih berisiko mendapat HIV kerana saluran darah lebih padat di bahagian itu. Pada 2013, kumpulan pengkaji yang sama melaporkan dalam jurnal Lancet, daripada kajian terkumpul mengenai transgender, golongan ini adalah 48.8 kali lebih berisiko mendapat jangkitan HIV berbanding golongan dewasa lain.

Pada 2016, laporan The Community Based Research Centre for Gay (CBRC) di Kanada menyatakan kadar cubaan membunuh diri daripada kalangan LGBT adalah antara dua hingga 10 kali lebih tinggi daripada heteroseksual. Di Belanda, di mana perkahwinan sesama jenis sah di sisi undang-undang, lelaki homoseksual tiga kali mempunyai masalah kawal emosi dan 10 kali lebih berisiko mencederakan diri dalam cubaan membunuh diri.

Begitu juga di Sweden yang menikmati keabsahan perkahwinan sejenis sejak 1995, kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki mengahwini lelaki adalah tiga kali ganda daripada lelaki yang mengahwini wanita. Ini membingungkan komuniti LGBT sendiri kerana ketika kadar penerimaan masyarakat Barat kepada LGBT dilaporkan meningkat daripada 27 peratus pada 1996, kepada 61 peratus pada 2016, kenapa mereka masih dibelenggu dengan pelbagai masalah kesihatan dan kejiwaan?

Bagi masyarakat Islam, kita percaya setiap larangan Allah SWT mempunyai tujuan dan maksud kesejahteraan hamba-Nya sendiri.

Peringatan mengenai bahaya dari sudut kesihatan ini bukan bertujuan mendiskriminasi, bahkan untuk menyedarkan golongan LGBT di Malaysia agar mereka kembali memikirkan apakah tujuan kehidupan, dan mendapatkan bantuan supaya mereka mempunyai kehidupan lebih terfokus.

Ibu bapa sewajarnya lebih tegas dalam menapis filem atau kartun yang menjadi tontonan anak-anak, dengan menolak segala kartun berunsur budaya tidak selari dengan ajaran agama. Saya menyeru saluran Disney, dan filem keluaran mereka ditolak, sehingga mereka dapat mesej tegas daripada ibu bapa bahawa kita menolak ideologi ini diperkasakan kepada anak kita melalui watak popular kartun. Beralihlah kepada kartun yang sarat dengan mesej kehidupan yang tidak melanggar syariat Islam.

Kesimpulannya, Malaysia yang mempunyai masyarakat berpegang teguh kepada agama, tatasusila dan keluhuran tinggi, perlu menolak secara keras budaya orientasi seksual songsang dan kecelaruan gender. Tindakan tegas harus diambil sedari awal demi manfaat golongan majoriti dan minoriti LGBT masih boleh dibimbing ke jalan yang benar. Bersifat apologetik dan mengikut naratif pihak yang mengagung-agungkan kebebasan hak individu hanya akan membinasakan masyarakat.

Penulis adalah Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(BHONLINE)

[4766225]

Facebook Comments