Kapal dinamakan sempena tiga jenis ikan




KETUA Turus Angkatan Tentera Laut (Kasal), Laksamana Ade Supandi merasmikan tiga buah kapal peronda laju buatan PT. Palindo Marin di Pelabuhan Batu Ampar, Batam, Wilayah Kepulauan Riau, Indonesia baru-baru ini.

Kehadiran kapal-kapal itu dapat memperkuatkan lagi Unit Rondaan Kapal Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL).

Tiga buah Kapal Republik Indonesia (KRI) itu diberi nama Tahitu, Layaran dan Madidihang yang diambil bersempena dengan nama tiga jenis ikan yang popular di perairan negara republik berkenaan.

“Nama-nama yang dipilih TNI AL itu sinonim dengan tiga jenis ikan laut yang cukup terkenal dengan ketangkasan dan kepantasan berenang supaya ketiga-tiga kapal berkenaan juga cekap ketika menjalankan tugas serta operasi demi memastikan kedaulatan negara terjamin.

“Kesemua kapal ini berukuran 45.5 meter panjang, lebar 7.9 meter dan kelajuan maksimum 24 knot.

“Kapasiti bahan api pula sebanyak 70,000 liter dengan ketahanan selama enam hari menjalankan operasi tanpa henti,” kata Ade.

Setiap kapal yang mempunyai nombor khas masing-masing iaitu 853, 854 dan 855 itu turut dilengkapi senapang mesin kaliber 12.7 milimeter dan meriam berukuran kira-kira 20 milimeter.

Sebuah buku panduan yang diterbitkan di Lanal, Batam ada menyebut bahawa perkataan tahitu merupakan sebutan bagi warga Maluku untuk ikan jenis tuna daripada spesies Thunus yang banyak didapati di sekitar perairan Indonesia.

Istilah Thunus pula berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud terlepas.

Ikan jenis tahitu ini kebiasaannya memiliki panjang sehingga 4.5 meter dengan berat melebihi 450 kilogram seekor.

Meskipun saiznya yang agak besar, tahitu mampu berenang dengan kelajuan 50 knot ketika memburu mangsa.

Kemampuan dan kehebatan ikan itu mendorong pihak TNI AL untuk memberikan nama kapal tersebut sebagai KRI Tahitu 853 bagi tujuan melaksanakan rondaan laut dan aktiviti mencari serta menyelamat.

Kapal berkenaan menempatkan 36 kru di bawah penyeliaan Komando Mayor Laut (P), Dwi Ardianto untuk menyertai barisan Unit Rondaan Koarmatim.

Layaran

Ikan layaran merupakan sejenis ikan dalam keluarga Istiophorus. Ikan itu terdiri daripada dua jenis iaitu ikan Layaran Atlantik (Istiophorus albicans) yang mendiami lautan Atlantik dan ikan Layaran Indo-Pasifik (Isttiophorus platypterus) yang berada di Lautan Hindi dan Pasifik termasuk wilayah Indonesia.

Ikan jenis itu merupakan spesies ikan yang hidup di perairan pantai dan aktif pada waktu siang serta selalu bergerak secara berkelompok bersama kumpulan masing-masing.

Ikan layaran kebiasaannya menjalani proses migrasi sejauh ratusan batu nautika pada kadar kelajuan hingga 110 kilometer per jam. Ukuran panjangnya boleh mencecah 360 sentimeter serta berat 100 kilogram seekor.

Kapal yang mendapat inspirasi daripada ikan layaran itu memiliki ciri-ciri khas seperti bentuk belakang yang tegak mirip dengan kapal layar dan mempunyai muncung yang panjang.

Sirip di belakang ikan layaran biasanya akan kelihatan seperti terlipat ketika sedang berenang, namun akan naik seketika apabila berasa terancam dengan serangan musuh.

Pemangsa

Ikan layaran merupakan haiwan pemangsa yang mengerikan bagi sekumpulan haiwan lain seperti ikan tenggiri, sardin, tongkol, udang dan sotong.

Keunikan lain ialah ikan layaran mampu mengubah warna tubuhnya menjadi biru tua dengan garis-garis kuning sehingga boleh menimbulkan rasa terancam dan takut kepada haiwan lain.

Kebiasaannya, perubahan warna itu sebagai tanda isyarat kepada ikan layaran lain untuk berwaspada terhadap ancaman haiwan pemangsa.

Ikan itu juga dikatakan pintar kerana mampu beraksi secara langsung terhadap perubahan arus dan gelombang laut yang mengganas.

Segala kemampuan dan keunikan ikan itu menyebabkan kapal kedua diberi nama KRI Layaran 854 dengan harapan seluruh tentera dan kru kapal yang bertugas sentiasa bersemangat dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

KRI Layaran juga diharap mampu menjalankan tugas dengan cekap seolah-olah haiwan pemangsa yang sedang memburu mangsanya di samudera.

Bagi kapal kedua ini, ia turut menempatkan 36 anak kapal di bawah Komander Laut (P), Heru Trimanto untuk bergabung pada jajaran Satuan Kapal Peronda Maritim Ujung Surabaya.

KRI Madidihang 855 pula diambil sempena nama ikan madidihang atau dalam bahasa Latin, Thunnus albacares iaitu sejenis ikan laut besar yang mengembara di Lautan Tropika di seluruh dunia.

Ikan dengan panjang antara 150 hingga 155 sentimeter itu mampu bergerak cepat dan lincah di lautan.

Kebiasaannya madidihang akan berenang di kedalaman kurang daripada 75 meter, namun kadangkala mampu menyelam antara 578 hingga 982 meter.

Disiplin

Lebih menakjubkan lagi, ikan itu mampu menyelam sehingga mencecah kedalaman 1,160 meter pada satu-satu masa.

Madidihang mempunyai ciri-ciri khas seperti sirip bahagian belakang berwarna kuning cerah dan berenang bersama sekumpulan ikan yang sama jenis.

Berdasarkan keistimewaan yang terdapat pada ikan itu, TNI AL berharap agar anak-anak kapal memiliki kecepatan dan kemampuan bertahan yang disertai dengan disiplin, kecekapan serta ketangkasan dalam melakukan tugas.

KRI Madidihang diharap mampu belayar dalam semua jenis keadaan cuaca demi melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk negara.

TNI AL turut menempatkan 36 orang anak kapal di bawah seliaan Komando Kapten Laut (P), Rhony Lutviandhani.

(Kosmo)

[4765939]

Facebook Comments