Memperkasa Perubatan Tradisional Melayu



Suasana Auditorium Utama, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), Cyberjaya, Selangor pagi itu tidak seperti kebiasaannya.

Sejak awal pagi, ruang legar di hadapan auditorium berkenaan tampak meriah dengan kehadiran lebih 400 peserta yang mengikuti Seminar Perdana Pemerkasaan Perubatan Tradisional Melayu 2017 yang diadakan buat julung-julung kalinya baru-baru ini.

Menghimpunkan kelompok pengamal perubatan tradisional Melayu dari seluruh negara, seminar berkenaan dianjurkan dengan objektif utama bagi memperkasakan lagi cabang bidang perubatan tersebut agar ia mampu bergerak seiring dengan arus perubatan konvensional.

Peluang berharga tersebut sukar dilepaskan oleh salah seorang peserta, Herlina Osman, 48, yang sudah lama menantikan program sedemikian bagi meningkatkan lagi tahap pemahaman serta pengurusan efektif berkaitan ilmu perubatan tradisional Melayu.

“Jika kita lihat, bidang perubatan tradisional kadangkala disalahertikan oleh segelintir masyarakat sebagai sesuatu yang tidak berasas dan tidak lagi relevan hanya kerana ia tidak mempunyai satu garis panduan khusus.

“Program ini sedikit sebanyak dapat membantu kami selaku pengamal perubatan tradisional Melayu berdaftar memperoleh pendedahan sewajarnya agar rawatan ini dapat dilaksanakan secara lebih komprehensif,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga berharap agar satu hari nanti, cabang perubatan tersebut dapat diterima dengan meluas oleh segenap lapisan masyarakat bagi melengkapi ilmu perubatan moden.

Sistematik

Dalam pada itu, bagi Mohamed Zaki Itam, 69, yang lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang perubatan tradisional memberitahu, inisiatif mengadakan program tersebut adalah sebagai usaha memurnikan lagi amalan perubatan tradisional di negara ini.

“Tidak ada salahnya amalan perubatan tradisional Melayu yang dipraktikkan sebelum ini.

“Begitupun, bagi saya sudah tiba masanya kita beralih kepada sesuatu yang lebih sistematik dan terancang agar bidang ini boleh pergi lebih jauh,” ujarnya.

Jelasnya, pendekatan yang diguna pakai dalam amalan perubatan tradisional Melayu kini hendaklah dipertingkatkan selari dengan peredaran masa agar ia kekal relevan dan terus diterima ramai.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera) itu kini aktif mengusahakan Pusat Perubatan Qalam Laduni di Bangi.

Dalam seminar berkenaan, tiga tajuk pembentangan utama telah dibentangkan iaitu Falsafah dan Prinsip Asas Perubatan Melayu, Pengenalan Amalan Herba dalam Perubatan Melayu serta Gagasan Baharu Perubatan Alam Melayu.

Ia memberi pendedahan kepada para peserta untuk mencari nilai tambah dan membimbing mereka ke arah mengamalkan konteks perubatan tradisional Melayu yang lebih berstruktur serta terancang.

Turut ditekankan amalan penggunaan herba dalam perubatan tradisional Melayu.

Panel-panel yang terlibat terdiri daripada Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari seperti Ustaz Nornizam Ngadeni, Dr. Abdul Ghani Hussain dan Dekan Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Arieff Salleh Rosman.

Lengkapkan diri

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu merupakan anjuran Akademi Gapera dan Badan Gabungan Gapera dengan kerjasama CUCMS.

Sementara itu, Yang Dipertua Gapera, Mohd. Adzhar Abd. Latif berkata, dalam usaha memperkasakan perubatan tradisional Melayu, para pengamal perlulah memperlengkapkan diri masing-masing dengan keperluan sepatutnya.

“Ia termasuklah aspek pengetahuan, kemahiran dan pengalaman supaya mampu memberikan perkhidmatan yang berkesan, efisien dan selamat kepada orang ramai.

“Penganjuran seminar ini adalah selari dengan fungsi Gapera sendiri iaitu mempertingkatkan, memperkembangkan dan memajukan lagi amalam perubatan tradisional Melayu,” ujarnya.

Jelasnya, inisiatif tersebut adalah seiring dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) yang telah dikuatkuasakan sejak awal tahun lalu.

(Kosmo)

[4765949]

Facebook Comments