Keterbukaan mampu atasi polemik agama


SEJAK beberapa bulan lalu, sama ada sedar atau tidak, masyarakat kita sedang berpolemik dengan banyak isu yang melibatkan agama.

Ia termasuk cadangan pengenalan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) oleh Parti Islam Se-Malaysia (Pas) bagi membolehkan beberapa perkara berkaitan dengan undang-undang syariah diperkasakan.

Tatkala ada sebahagian rakyat yang menyokong, ada pula yang mempertikaikannya.

Pada masa sama, sebahagian kecil rakyat berpolemik dengan keperluan pendakwah bebas dari India, Dr. Zakir Naik untuk menyampaikan syarahan di Malaysia.

Beliau telah dianggap sebagai seorang pelampau yang boleh menggugat keharmonian agama di Malaysia oleh penentangnya.

Seperti biasa, tatkala ada yang menentang, akan ada pula yang menyokong.

Di celah-celah pelbagai polemik tadi, tersebar pula berita seorang paderi telah diculik oleh beberapa individu yang tidak dikenali.

Seperti biasa, sekalipun tiada penjelasan mengenainya, ada segelintir pihak telah mengaitkan ia dengan sentimen agama.

Walaupun realitinya, ia mungkin tidak berkaitan dengan isu agama. Bagaimanapun, memandangkan mangsa ialah seorang paderi, maka hujah berkaitan sentimen agama lebih mudah menular berbanding alasan lain.

Semua kisah tersebut menunjukkan betapa polemik agama adalah antara kisah yang tidak pernah berkesudahan. Ia berlaku bukan sahaja di negara kita tetapi di seluruh dunia.

Adakah sensitiviti beragama ini sebenarnya menunjukkan seseorang itu cenderung dengan kehidupan beragama? Ia mungkin tidak.

Kajian psikologi

Sebenarnya, dalam kajian psikologi, hal seumpama ini dinamakan sebagai Religious Worldview atau pandangan alam agama.

Pandangan alam agama ini sebenarnya dibentuk oleh seseorang sejak masih kecil dan ia diperteguhkan dari semasa ke semasa oleh persekitarannya.

Apa sahaja pandangan yang bertentangan dengan ideologi yang dipercayainya akan dianggap sebagai salah.

Malah, pandangan yang bertentangan juga akan dianggap sebagai ancaman yang adakalanya berakhir dengan keganasan.

Perbezaan pandangan alam beragama ini bukan sahaja berlaku dalam konflik berlainan agama, bahkan dalam kumpulan penganut agama yang sama.

Pandangan baharu mengenai sesuatu hukum yang bertentangan dengan kepercayaan tradisional mungkin akan dianggap sesat.

Bagi yang mendukung aliran baharu pula, mereka akan menganggap aliran tradisional sebagai menyimpang.

Bagaimanapun, bukanlah bermakna seseorang yang mempunyai pandangan alam agama ini sangat taat dalam kehidupan beragama.

Misalnya, seseorang itu mungkin jarang bersolat, namun dia akan marah jika ada orang lain memperkatakan sesuatu yang buruk terhadap agamanya.

Pada akhirnya, pandangan alam agama seseorang akan menentukan sejauh mana seseorang itu melihat kumpulan lain. Ia boleh sahaja berakhir dengan diskriminasi, prejudis dan jenayah.

Banyak kes penculikan dan pembunuhan yang dilakukan oleh beberapa kumpulan pelampau di Selatan Filipina misalnya, mungkin bermula dengan pandangan alam ini.

Mereka mungkin melihat orang lain, khususnya yang berlainan agama sebagai musuh. Sedangkan perbuatan yang mereka lakukan itu sebenarnya dilarang dalam agama.

Kajian-kajian psikologi juga menunjukkan ada sebahagian manusia secara umumnya berada dalam ketidakpastian (uncertainty).

Mereka yang berada dalam kategori ini umumnya akan cenderung untuk berasa ragu-ragu dengan perkara yang akan berlaku pada masa hadapan.

Contohnya, selepas kejadian serangan pengganas pada September 2011, sebahagian masyarakat Barat mula berasa ragu-ragu dengan pengganas.

Mereka yang berada dalam kategori ini secara umumnya akan lebih bersikap negatif terhadap kumpulan yang mempunyai ciri-ciri pelampau.

Aliran

Secara tidak langsung, pandangan alam mereka juga akan lebih kuat bersifat negatif terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.

Sebaliknya akan lebih positif dengan apa sahaja pandangan yang dibawakan oleh kumpulan beraliran sama dengan mereka.

Berbalik kepada beberapa kes sentimen beragama di negara ini, pada akhirnya ia mungkin merujuk kepada pandangan alam seseorang.

Mereka yang menyokong RUU 355 mungkin akan melihat undang-undang bersifat sekular tidak mampu mempertahankan hak mereka sebagai seorang Muslim.

Bagi yang menentang pula, ia mungkin melihat RUU 355 itu sendiri sebagai ancaman terhadap pandangan mereka mengenai sistem perundangan.

Zakir mungkin dianggap pendakwah yang hebat bagi majoriti orang Islam, termasuklah keupayaannya untuk mengislamkan mereka yang bukan Islam.

Sudah tentulah, beliau juga dianggap ancaman kepada mereka yang bukan Islam kerana pengaruh dakwahnya itu.

Pada akhirnya, kita menyokong atau menentang sesuatu bukan kerana isunya. Kita menyokong atau menentang kerana adakalanya sama atau berlainan dengan cara kita melihat sesuatu.

Keterbukaan kita untuk menerima perbezaan mungkin jalan terbaik untuk kita terus bersama.

(Kosmo)

[4760343]

Facebook Comments